Sei sulla pagina 1di 2

PERNYATAAN PROFESIONAL a) Apa Yang Akan Dilaksanakan Semasa Praktikum.

Praktikum ialah latihan praktik yang merupakan komponen wajib dalam program pendidikan guru. Praktikum memberi peluang kepada pelajar untuk mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai keguruan secara reflektif dalam situasi sebenar bilik darjah dan sekolah. Pelaksanaan program peringkat ini memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran dengan bimbingan pensyarah pembimbing dan guru pembimbing melalui perkongsian pintar dan permuafakatan antara agensi-agensi KPM. Saya dan dua rakan saya, Nur Aina Safiah dan Nur Hafizah akan menjalani praktikum di Sekolah Kebangsaan Pernu. Kami telah melihat lokasi sekolah setelah mengetahui penempatan praktikum kami. Jarak IPG dari sekolah adalah kira-kira 12 km dan tempoh perjalanan memakan masa hampir 15 minit. Oleh yang demikian, saya telah membuat keputusan untuk menetap di asrama dan bertolak jam 7.00 pagi ke sekolah. Saya berharap kami bertiga dapat berkongsi idea, maklumat serta pendapat dan kerjasama kami ini akan berterusan menghasilkan sesuatu yang baik. Di samping itu, saya juga telah berjumpa dengan senior semester 8 yang pernah menjalani praktikum di SK Pernu untuk mengetahui serba sedikit latar belakang sekolah, guru dan murid di sana.

Harapan saya untuk praktikum fasa 2 ini ialah semoga saya dapat mengumpul pengalaman dan input berguna di samping memperbaiki kelemahan sepanjang praktikum fasa 1 yang lalu. Penyediaan rancangan mengajar, perancangan aktiviti yang menarik, kawalan kelas dan sikap profesionalisme akan saya pelajari dengan bersungguh-sungguh sepanjang menjalani praktikum ini. Selain itu, saya juga berharap agar warga sekolah dapat memberikan kerjasama kepada saya dan rakan-rakan di samping memastikan wujudnya hubungan yang mesra antara saya dan warga sekolah. Saya akan cuba menjalankan tanggungjawab dengan baik dan mewujudkan persekitaran yang selesa dengan semua pihak.

Banyak perkara yang perlu saya lakukan semasa menghadiri praktikum di sekolah. Saya perlu menyediakan rancangan pengajaran harian (RPH), melengkapkan portfolio, bersedia apabila diberi tugas oleh pihak sekolah, menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah, menghadirkan diri setiap kali perjumpaan guru-guru dan melengkapkan portfolio. Saya perlu sentiasa bersedia untuk dipantau oleh pensyarah pembimbing dan guru pembimbing pada bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian, saya perlulah sentiasa bersiap sedia dalam tempoh ini dan membuang sifat bertangguh apabila diberi tugas. Pengalaman praktikum fasa 1 mengajar saya agar tidak bertangguh kerja misalnya, sentiasa mengemaskini portfolio praktikum setiap minggu agar beban tugasan praktikum tidaklah begitu banyak selepas tamat praktikum kelak. Kesimpulannya, saya perlu membuat pelbagai persediaan untuk menghadapi suasana di sekolah dan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku. Semoga perjalanan praktikum fasa 2 ini akan berjalan dengan lancar dan saya memberi pengalaman dan ilmu yang bermakna kepada saya.