Sei sulla pagina 1di 12

Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

MOTIVASI PELAJAR DALAM PEMBELAJARAN KESANTUNAN BAHASA

Fatimah binti Ibrahim


fatimah@ipip.edu.my
Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Hulu Kinta, Perak

Shahabuddin bin Hashim, Ph.D


shah@usm.my
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji unsur motivasi pelajar dalam pembelajaran
kesantunan bahasa di salah sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG). Unsur motivasi
pelajar dikaji berdasarkan Teori Pengupayaan Kendiri (Deci &Ryan, 1985) dan
Taksonomi Motivasi Intrinsik (Malone & Lepper, 1987). Sampel kajian terdiri daripada
lima orang pelajar dari Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan yang mengikuti
pembelajaran kesantunan bahasa dalam Kursus Bahasa Melayu Komunikatif di sebuah
kampus IPG. Kajian kes secara kualitatif ini dijalankan dengan menggunakan alat kajian
seperti pemerhatian, temu bual semi struktur dan semakan dokumen. Hasil kajian
menunjukkan bahawa wujudnya unsur motivasi seperti kecekapan, autonomi, cabaran,
rasa ingin tahu, kerjasama, persaingan dan pengiktirafan dalam kalangan pelajar yang
mempelajari kesantunan bahasa secara formal di dalam kelas. Kajian mencadangkan
agar unsur motivasi dintegrasi secara terancang dalam proses pembelajaran kesantunan
bahasa agar dapat meningkatkan kecekapan komunikatif yang santun dalam kalangan
pelajar.

Kata Kunci: motivasi, pembelajaran kesantunan bahasa

STUDENTS’ MOTIVATION IN THE STUDY OF LANGUAGE POLITENESS


LEARNING

Abstract

This study aims to investigate students’ motivational elements in the language politeness
study at one of the Institutes of Teacher Education (ITE). The motivational elements of
the students is studied based on the Self-Determination Theory (Deci &Ryan, 1985) and
the Taxanomy of Intrinsic Motivation (Malone & Lepper, 1987). The sample consists of
five Bachelor of Education students who are taking language politeness as part of the
Communicative Malay Language Course. This qualitative case study was conducted using
research instruments such as observation, semi-structured interviews and document
analyses. The findings showed the presence of elements of motivation such as efficiency,
autonomy, challenge, curiosity, cooperation, competition and appreciation among students
who were studying the language politeness formally in the classroom. This study
recommends that in the language politeness study, elements of students’ motivation are
integrated into the learning process in order to improve the politeness of competence level
among the students.
91
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Key words: motivation, language politeness learning

PENGENALAN
Pembelajaran kesantunan bahasa secara formal diperoleh oleh pelajar-pelajar sebaik sahaja
mereka menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Justeru, penggunaan model pengajaran
dan pembelajaran santun bahasa dengan pendekatan yang sesuai dapat memupuk
kesantunan bahasa dalam kalangan pelajar (Abdul Hamid Mahmood, 2007). Hal ini selari
dengan pandangan Yahya Othman (2005) yang menyatakan bahawa guru Bahasa Melayu
sewajarnya memainkan peranan yang penting untuk mengajarkan secara terancang amalan
budi bahasa dan nilai murni kepada pelajar. Dalam hal ini, penerapan peraturan budi
bahasa yang mengakibatkan perubahan tingkah laku yang sopan dan keterampilan
berbahasa yang santun sebenarnya berkait rapat dengan motivasi intrinsik yang ada dalam
diri seseorang disebabkan kepuasan kendiri tanpa adanya ganjaran luaran. Justeru,
kegagalan seseorang untuk menggunakan bahasa itu mengikut ciri-ciri kesantunan seperti
yang ditetapkan secara konvensional oleh penutur jati sesuatu bahasa itu boleh
mengakibatkan dirinya tidak dapat diterima sebagai penutur yang mahir dan cekap (Asmah
Omar, 2002).

Pernyataan Masalah
Institusi pendidikan tidak terkecuali daripada persoalan tentang ketidaksantunan bahasa
dalam komunikasi, terutama dalam kalangan pelajarnya. Hal ini sejajar dengan hasil
kajian pengkaji-pengkaji terdahulu tentang amalan dan bentuk kesantunan bahasa yang
dilaksanakan sebelum ini menunjukkan bahawa gejala tidak santun berlaku dalam
kalangan pelajar sekolah walaupun mereka mahir berkomunikasi (Salinah Abdul Kadir,
2008, Zuraini, et.al, 2009). Gejala tidak santun ini disepakati oleh para sarjana seperti,
Abdullah Hassan (2007), Abdul Hamid Mahmood (2007) dan Mahzan Arshad (2008) yang
menyatakan bahawa keterampilan berbahasa atau cekap berkomunikasi tidak membawa
makna bahawa seseorang penutur bahasa Melayu sudah mantap dari aspek santun
berbahasanya. Sehubungan dengan itu, Hashim Othman (2011) berpendapat bahawa untuk
menuju ke arah perubahan tingkah laku yang diingini, misalnya tingkah laku sopan dan
kecekapan komunikatif yang santun, guru bukan sahaja memahami dan menghayati
pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai dan tepat bagi menyampaikan pelajaran secara
efektif kepada pelajar, tetapi juga mengambil kira unsur-unsur yang dapat menimbulkan
motivasi bagi merangsang pembelajaran pelajar. Justeru, timbul persoalan tentang
bagaimana caranya para pelajar Institut Pendidikan Guru yang mengikuti kursus Bahasa
Melayu Komunikatif mampu menyerap semua aspek pembelajaran kesantunan bahasa
yang dipelajari secara teori dalam tempoh masa yang ditetapkan dan seterusnya
mempraktikkannya dalam aktiviti bahasa yang dijalani di bilik kuliah. Oleh yang
demikian, kajian ini dilakukan bagi mendapatkan deskripsi yang jelas tentang unsur-unsur
motivasi yang dimiliki oleh pelajar IPG semasa mempelajari kesantunan bahasa secara
formal di dalam kelas berdasarkan Pro Forma Bahasa Melayu Komunikatif (KPM, 2011).

92
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk mendeskripsikan unsur motivasi yang dimiliki
oleh pelajar IPG semasa mempelajari kesantunan bahasa secara formal di dalam kursus
Bahasa Melayu Komunikatif.

Soalan Kajian
Apakah unsur motivasi yang dimiliki oleh pelajar sewaktu mempelajari kesantunan bahasa
di dalam kursus Bahasa Melayu Komunikatif?

Batasan Kajian
Kajian ini terbatas kepada lima orang pelajar PISMP yang mengikuti kursus Bahasa
Melayu Komunikatif dalam semester dua di salah sebuah kampus IPG zon utara.

Model Motivasi
Motivasi memainkan peranan yang penting dalam bidang pendidikan kerana motivasi
dapat menerangkan mengapa seseorang manusia dapat melakukan apa yang mereka
lakukan (Harter, 1982). Berdasarkan teori pengupayaan kendiri (self-determination
theory), Deci dan Ryan (1985) telah mengenal pasti perbezaan antara jenis motivasi
berdasarkan perbezaan tujuan atau matlamat yang boleh menggerakkan sesuatu tindakan
atau tingkah laku. Motivasi intrinsik merujuk kepada dorongan untuk melakukan sesuatu
kerana minat atau keseronokan. Manakala motivasi ekstrinsik merujuk kepada dorongan
untuk mengerakkan sesuatu tindakan kerana adanya pengukuhan atau sesuatu peristiwa
luar yang dapat menuju ke arah hasilan yang berbeza. Motivasi intrinsik wujud sebagai
satu fenomena yang penting dalam pendidikan kerana keadaannya yang semula jadi dalam
konteks pembelajaran dan pencapaian sistematik yang boleh dimangkinkan atau terjejas
ekoran amalan ibu bapa dan guru (Deci dan Ryan, 2000). Dengan adanya motivasi
intrinsik, pembelajaran yang berkualiti dan kreativiti dapat dicetuskan (Deci dan Ryan,
1985; Deci dan Ryan, 2000).

Deci dan Ryan (1985) mengemukakan tiga keperluan dalam teori pengupayaan kendiri
(self-determination theory), iaitu kecekapan, autonomi dan kesesuaian hubungan dengan
persekitaran (relatedness). Teori pengupayaan kendiri khusus dirangka dari segi faktor-
faktor sosial dan persekitaran yang boleh menggalakkan atau melemahkan motivasi
intrinsik seseorang. Sehubungan dengan itu, Deci dan Ryan (2000) juga menekankan
persepsi bahawa seseorang itu cekap dan berkebolehan sahaja tidak akan mengukuhkan
motivasi intrinsik, melainkan diikuti dengan keperluan dari segi autonomi. Oleh yang
demikian, seseorang yang dikatakan memiliki motivasi intrinsik yang tinggi mesti
mengalami kepuasan dari segi keperluan kecekapan dan autonomi (Deci dan Ryan, 1985;
Deci dan Ryan, 2000). Sehubungan dengan itu, Deci dan Ryan (1985) berpendapat
bahawa satu cara untuk meningkatkan motivasi intrinsik pelajar ialah dengan memberikan
pengajaran yang tidak menjejaskan persepsinya tentang autonomi. Justeru, teori ini
meramalkan apabila guru menggalakkan pelajar memilih tugasannya sendiri, mengejar
minatnya sendiri dan menyelesaikan masalahnya sendiri, persepsi pelajar terhadap
keupayaan kendiri dan motivasi intrinsiknya akan meningkat.

Manakala Malone dan Lepper (1987) pula mengemukakan tujuh unsur dalam taksonomi
motivasi dalaman yang mempengaruhi persekitaran pembelajaran seseorang. Empat unsur
utama bagi pembelajaran individu dan tiga unsur bagi aspek interpersonal dalam sebuah
93
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

taksonomi motivasi intrinsik. Unsur pembelajaran yang menyenangkan bagi individu


merangkumi unsur cabaran, ingin tahu, kawalan dan fantasi. Manakala aspek interpersonal
meliputi unsur kerjasama, persaingan dan pengiktirafan. Namun demikian, pemilihan
mana-mana unsur motivasi intrinsik bergantung pada objektif pelajaran, isi kandungan dan
bahan yang digunakan.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan kaedah pungutan data secara kualitatif. Dapatan diperoleh dalam
latar semula jadi, difahami keadaan sebenar dan dapat ditafsir berdasarkan perlakuan yang
ditunjukkan oleh peserta kajian yang merupakan pelajar IPG yang mengikuti pembelajaran
santun bahasa dalam kursus Bahasa Melayu Komunikatif. Kajian ini dilakukan di salah
sebuah Insitut Pendidikan Guru (IPG) kampus zon utara. Tempoh masa kajian selama 10
minggu digunakan bagi mendapatkan maklumat tentang unsur motivasi yang dimiliki oleh
pelajar dalam konteks pembelajaran santun bahasa. Pengkaji merupakan instrumen utama
dalam kajian ini.

Melalui teknik pemerhatian, pengkaji dapat memerhati dan mendengar apa yang berlaku di
dalam kelas sewaktu pembelajaran santun bahasa dalam suasana yang semula jadi
(naturalistic setting) dalam tempoh masa satu jam bagi setiap interaksi Bahasa Melayu
Komunikatif. Semasa kajian dijalankan, pemerhatian dilakukan di belakang kelas dan
penyelidik berperanan sebagai pemerhati tidak turut serta dan membuat catatan lapangan
dan menggunakan perakam audio digital. Manakala rakaman video pula dilakukan
sebanyak dua kali bagi setiap peserta kajian. Terdapat 20 orang pelajar PISMP yang
mengikuti kursus Bahasa Melayu Komunikatif dalam kelas yang dikaji. Namun demikian
hanya lima orang peserta kajian yang dipilih bagi tujuan kajian ini. Semua peserta kajian
diberi nama samaran. Temu bual semi struktur dilakukan dengan peserta kajian sebaik
sahaja kelas Bahasa Melayu Komunikatif berakhir.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN

Kecekapan
Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kecekapan atau keupayaan pelajar untuk
menyedari bahawa mereka cekap serta berkebolehan untuk berbahasa dengan baik adalah
berbeza-beza dalam kalangan peserta kajian. Alif dapat menunjukkan keterampilan
berbahasa dengan strategi santun yang dapat dizahirkannya dengan baik sewaktu berpidato
di khalayak. Dia dapat berpidato dengan yakin, mengunakan bahasa halus serta
penggunaan kata ganti nama, bentuk sapaan dan gelaran yang tepat. Hal ini diakui oleh
Alif melalui temu bualnya dengan pengkaji yang menjelaskan bahawa dia sedar dari segi
keupayaan dirinya untuk berbahasa dengan baik mengikut konteks.Pengalaman dirinya
yang terlibat secara aktif dalam aktiviti perbahasan dan pidato di peringkat sekolah
ternyata memberi kelebihan untuknya berasa yakin bahawa dia benar-benar cekap dari segi
bahasa. Perlakuan berbahasa yang dipamerkan oleh Alif adalah selaras dengan keyakinan
dirinya bahawa dia cekap menggunakan bahasa mengikut konteks. Hal ini selaras dengan
unsur kecekapan yang diperkatakan oleh Deci dan Ryan (1985) yang merupakan satu
keperluan dalam motivasi intrinsik.
94
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Manakala Lisa dan Prema juga memiliki kecekapan berbahasa yang baik berdasarkan
kemampuan mereka berkomunikasi dalam konteks formal bagi aktiviti kebahasaan di
dalam kelas. Walaupun Lisa adakalanya mencampuradukkan perkataan bahasa Inggeris
sewaktu bertutur dalam bahasa Melayu, namun dia masih mempunyai tahap keyakinan
yang tinggi sewaktu berkomunikasi secara formal sewaktu menjalani aktiviti bahasa di
dalam kelas. Keupayaannya untuk berkomunikasi secara spontan dalam aktiviti lakonan
jelas menunjukkan kecekapannya berkomunikasi dalam bahasa Melayu mengikut konteks
sekali gus mematuhi peraturan santun bahasa yang dipelajarinya secara teori dalam
semester pertama sebelum ini.

Begitu juga dengan Prema yang memperlihatkan kebolehan dan kecekapannya


berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik. Hal ini dibuktikannya melalui
keupayaannya berinteraksi dengan rakan sewaktu sesi sumbang saran kumpulan diadakan.
Idea-idea bernas yang dikemukakan serta keupayaannya untuk membaiki kesilapan rakan
serta memberi contoh yang tepat jelas menunjukkan keupayaannya menguasai bahasa
dengan cekap. Misalnya, dalam satu sesi sumbang saran dalam kumpulan, Prema
menyebut, “Pada pendapat saya, kumpulan kita sepatutnya menyunting kesilapan bahasa
dalam rakaman sebelum dimuat naik untuk tontonan rakan-rakan. Muat naik ya Kim,
bukannya upload lagi!”

Teguran Prema itu disambut secara positif oleh Kim yang menyedari bahawa
kecekapannya untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu tidak sebaik Prema. Hal ini
diakui oleh Kim sendiri kepada pengkaji bahawa kekurangan perbendaharaan kata dalam
bahasa Melayu menjejaskan kecekapannya untuk berkomunikasi dengan lancar. Kim
mengakui bahawa aktiviti kebahasaan secara lisan yang dijalaninya secara formal dapat
membantunya membaiki penguasaan berbahasa sekali gus meningkatkan kesedarannya
untuk berbahasa dengan baik seperti Prema. Kim juga menjelaskan bahawa teguran
daripada pensyarah dan rakan-rakan dapat membantunya berkomunikasi dengan lebih baik
dalam bahasa Melayu. Menurut Kim, kecekapan berkomunikasi dengan baik dan santun
dalam bahasa Melayu amat diperlukan memandangkan dia ialah guru permulaan yang akan
ditugaskan di sekolah rendah. Oleh yang demikian, dia harus memperbaiki kcekapan
berbahasa untuk membolehkannya melaksanakan tugas sebagai seorang guru yang mampu
menguasai kedua-dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan baik. Di
samping itu dia sedar bahawa apa yang dipelajarinya semasa mata pelajaran Bahasa
Melayu Komunikatif ini dapat membantunya kelak apabila berhadapan dengan masyarakat
dan komuniti sekolah. Menurut Kim, “ sesi perbincangan dalam kumpulan dapat bantu
saya tingkatkan keyakinan diri untuk bercakap. Macam bercakap di depan, saya boleh
practice guna bahasa Melayu, sebab di sekolah nanti pun mungkin saya perlu berucap di
hadapan murid masa perhimpunan atau temu duga jawatan dengan SPP” . Dalam hal ini,
Kim mempunyai motivasi untuk mempelajari dan memperbaiki kecekapan komunikasi
dalam bahasa Melayu disebabkan faktor luaran yang dihubungkaitkan ganjaran untuk lulus
dalam temu duga dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan juga keperluan
untuk berucap dengan fasih di hadapan khalayak.

Berbanding dengan Kim, Chin memiliki rasa kurang yakin apabila diminta mengemukakan
idea dalam bahasa Melayu secara spontan. Hal ini diakui oleh Chin yang menyatakan
bahawa dia bimbang untuk mengemukakan idea disebabkan ketidakcekapannya
95
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

berkomunikasi dengan baik. Justeru, dia lebih kerap mendiamkan diri dan hanya
mengemukakan idea jika diminta oleh rakan yang lain atau pensyarah. Temu bual
pengkaji dengan Chin jelas menunjukkan bahawa kekurangan perbendaharaan kata dapat
bahasa Melayu mengehadkan keupayaan Chin untuk mengemukakan idea yang bernas
kepada rakan-rakan sewaktu sesi perbincangan. Menurut Chin, “saya ada banyak idea
untuk cakap ma.. tapi susah...itu perkataan tak ada match dalam bahasa”. Dalam hal ini,
Chin tidak mencapai tahap kepuasan secara intrinsik semasa melaksanakan aktiviti bahasa
memandangkan ketidakcekapannya untuk berkomunikasi dengan baik dan santun. Hal ini
sejajar dengan pandangan Deci dan Ryan (2000) yang menyatakan bahawa kecekapan atau
keupayaan yang dimiliki oleh seseorang bagi mengendalikan persekitarannya merupakan
satu dorongan untuk individu terlibat mendapatkan motivasi secara intrinsik.

Autonomi
Dapatan pemerhatian juga menunjukkan bahawa pensyarah yang mengajar mata pelajaran
Bahasa Melayu Komunikatif memberikan peluang kepada pelajar untuk memilih bagi
melakukan tugasan dalam kumpulan rakan yang mereka pilih sendiri. Di samping itu,
topik yang dikemukakan juga fleksibel, iaitu topik utama ditetapkan dan pemilihan tajuk
secara spesifik dibuat oleh kumpulan masing-masing.Misalnya, pensyarah memberi topik
umum, iaitu ‘kesantunan bahasa dalam situasi mesyuarat’. Dalam hal ini setiap kumpulan
menentukan sendiri tentang inti pati mesyuarat dan peranan apa yang harus dimainkan oleh
setiap ahli kumpulan. Oleh yang demikian, unsur autonomi dalam pembelajaran ini
memberi peluang kepada pelajar untuk menentukan sendiri isi kandungan teks yang
hendak dibincangkan serta peranan setiap ahli kumpulan mengikut kecekapan komunikasi
masing-masing. Semua peserta kajian mengakui bahawa peluang untuk berbincang
dengan bebas berdasarkan skop yang diberi oleh pensyarah, iaitu Encik Mustafa (nama
samaran) dapat membantu mereka mengawal situasi pembelajaran mengikut cara yang
mereka ingini serta berasa selesa untuk melakukannya. Misalnya, Prema menyatakan
bahawa dia tidak rasa tertekan untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah
kerana diberi peluang untuk menentukan sendiri inti pati tugasan berdasarkan skop yang
diberi. Begitu juga dengan Lisa dan Alif yang menyatakan bahawa topik untuk aktiviti
lisan yang disediakan oleh pensyarah sesuai untuk pembelajaran mereka dan dapat
merangsang minat mereka untuk turut serta dalam aktiviti bahasa yang dibuat. Manakala
Kim dan Chin juga mengakui bahawa pilihan tugasan yang diberi oleh pensyarah dapat
meningkatkan minat mereka untuk mempelajari bahasa Melayu sekali gus memperbaiki
penguasaan bahasa mereka mengikut kemampuan. Walaupun pada mulanya, ada rasa
rendah diri kerana tidak dapat berkomunikasi dengan lancar, namun sokongan rakan-rakan
sekumpulan serta peluang yang diberi untuk berkomunikasi di khalayak dapat
meningkatkan minat mereka untuk melaksanakan setiap tugasan yang diberi oleh
pensyarah dengan baik. Misalnya, Kim menyebut, “ saya paling suka waktu main peranan
sebagai ahli mesyuarat. Rasa macam betul-betul adakan mesyuarat sebenar. Saya boleh
bagi idea untuk cari duit bagi lawatan sambil belajar ”.

Alif pula memuji tindakan pensyarah yang memberi peluang untuknya memilih bagi
menentukan sendiri tajuk pidato yang hendak disampaikannya di khalayak. Dia berasa
selesa dan lebih yakin dengan peluang yang diberi bagi menunjukkan kecekapannya untuk
berpidato dengan baik. Hal ini diakui sendiri oleh Alif yang menyebut, “jika pensyarah
yang tetapkan tajuk secara spesifik mungkin saya tidak mempunyai idea untuk
berkomunikasi tentang tajuk itu dengan baik. Daya kreativiti saya mungkin lebih baik jika
96
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

saya diberi peluang untuk tentukan sendiri tajuk berdasarkan skop yang diberi” .
Manakala Chin pula berpendapat bahawa dia lebih bersemangat untuk melakukan tugasan
yang diberi kerana dia boleh menentukan pembelajarannya sendiri berdasarkan
keupayaannya untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Sokongan rakan-rakan serta
teguran daripada pensyarah dapat membantunya menentukan inti pati tugasan yang
dilakukan selaras dengan skop utama tugasan yang ditetapkan. Hal ini selaras dengan
pandangan Spaulding (1992) yang menyebut bahawa autonomi dalam pembelajaran ini
dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menentukan sendiri pilihan dan minat mereka
dan sekali gus membantu mereka untuk melakukan perubahan. Hal ini disepakati oleh
para sarjana berdasarkan kajian dalam pembelajaran di bilik darjah yang menunjukkan
bahawa sokongan dari segi autonomi oleh guru akan memangkin motivasi intrinsik pelajar,
menimbulkan rasa ingin tahu dan bersedia untuk menghadapi cabaran (Deci, Nezlek dan
Sheiman, 1981; Ryan dan Grolnick, 1986).

Cabaran
Berdasarkan pemerhatian juga didapati bahawa aktiviti bahasa yang dijalankan dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu Komunikatif mencabar kecekapan berbahasa pelajar sekali gus
membantu mereka memperbaiki penguasaan berbahasa yang baik dan santun. Aktiviti
bahasa yang dilaksanakan sesuai dengan kemampuan individu, iaitu pelajar dapat
mengaplikasi semua aspek kesantunan yang telah dipelajari sebelum ini dan menunjukkan
kredibiliti masing-masing bagi menzahirkan pengucapan bahasa yang santun mengikut
konteks. Bagi Alif, aktiviti bahasa yang mencabar dapat meningkatkan motivasi dirinya
untuk membuktikan bahawa dia mampu menguasai bahasa Melayu dengan fasih dan
cekap. Menurutnya, hal ini ada hubungkaitnya dengan minatnya untuk berhujah di
hadapan khalayak serta cita-citanya untuk menjadi pemimpin pelajar pada satu hari nanti.
Aktiviti bahasa yang dijalaninya di bilik darjah umpama medan untuk Alif mengasah
bakat, meningkatkan keyakinan diri dan meraih sokongan daripada khalayak.

Manakala Prema pula berpendapat bahawa aktiviti bahasa yang mencabar lebih
menyeronokkan dan memberi peluang untuknya berkomunikasi dengan lebih baik di
hadapan khalayak. Jika aktiviti bahasa yang santun hanya dipelajari secara teori sahaja
tetapi tidak dipraktikkan maka peluangnya untuk memperbaiki komunikasi yang baik akan
terbatas. Cabaran untuk menjadi pengerusi dan mengendalikan mesyuarat adalah antara
aktiviti bahasa yang dianggap mencabar keupayaan dan kecekapan dirinya untuk
menzahirkan pengucapan yang santun di hadapan khalayak. Hal ini diakui sendiri oleh
Prema sewaktu sesi temu bual. Menurut Prema, “pada mulanya saya rasa amat risau jika
tak dapat kendalikan mesyuarat dengan baik. Tambahan pula ini kali pertama saya diminta
untuk mempengerusikan mesyuarat, tapi saya anggap ini satu cabaran. Saya mesti
buktikan bahawa saya mampu untuk berkomunikasi dengan baik. Lagi pun saya dah
belajar secara teori. Inilah masanya saya praktikkan apa yang telah dipelajari”. Jelaslah
bahawa pelajar yang lebih cenderung ke arah motivasi intrinsik lebih menyukai aktiviti
atau tugasan yang lebih mencabar keupayaan atau kebolehan diri mereka berbanding
dengan aktiviti atau tugasan yang mudah. Unsur cabaran yang dikemukakan oleh Malone
dan Lepper (1987) ini selari dengan pandangan Harter (1982) yang mengkategorikan
dimensi cabaran sebagai salah satu kecenderungan motivasi intrinsik dalam bidang
pembelajaran serta menepati hasil kajian penyelidik-penyelidik terdahulu.

97
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Rasa Ingin Tahu


Rasa ingin tahu daripada peserta kajian jelas dapat diperhatikan melalui soalan-soalan yang
dikemukakan oleh peserta kajian sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Unsur ingin tahu ini mendorong pelajar untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan
dengan perkara baharu yang dipelajari. Misalnya, Kim yang ingin tahu lebih lanjut tentang
kata ganti nama diri kedua dan mengungkapkan ayat berikut, “Apakah ganti nama diri
yang sesuai digunakan dalam mesyuarat jika seseorang itu ada gelaran? Contohnya,
keturunan raja” . Soalan ini dikemukakan oleh Kim sewaktu pensyarah memberikan
penjelasan tentang kata ganti nama diri kedua yang digunakan dalam komunikasi rasmi.
Penjelasan berserta contoh yang diberi oleh pensyarah dapat meningkatkan kefahaman
Kim dan para pelajar yang lain. Anggukan kepala berserta contoh lain yang diberikan oleh
Kim sendiri jelas menunjukkan bahawa dia memahami penggunaan kata ganti nama diri
kedua yang perlu diselaraskan dengan gelaran yang dimiliki oleh seseorang. Kim
menyebut, “kalau seseorang itu ada gelaran Tun atau Tan Sri maka kata ganti nama diri
mesti ikut berdasarkan anugerah? Macam gelaran Tun, saya kena sebut, Yang Amat
Berbahagia Tun bagi merujuk kata ganti nama diri yang sesuai dalam majlis rasmi?” Ayat
yang diungkapkan oleh Kim ini jelas menunjukkan rasa ingin tahunya berdasarkan
maklum balas awal yang diberi oleh pensyarah. Dia inginkan pengesahan bahawa apa
yang difahaminya itu selaras dengan penjelasan daripada pensyarah tentang penggunaan
kata ganti nama diri kedua yang tepat dalam konteks rasmi.

Begitu juga dengan Chin yang mengemukakan pertanyaan tentang kata ganti nama diri
kedua jamak. Rasa ingin tahu yang ada dalam diri Chin menyebabkannya mengungkapkan
ayat berikut, “kenapa tak boleh guna kata ganti nama diri ‘kalian’ dalam mesyuarat atau
majlis rasmi? ”. Hal ini dapat dijelaskan oleh pensyarah berkenaan yang menyatakan
bahawa kata ganti nama diri jamak ‘kalian’ hanya digunakan bagi audiens yang akrab dan
tidak boleh digunakan dalam konteks urusan rasmi. Contoh yang diberi oleh Alif yang
menyebut, “Terima kasih atas sokongan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis ini ”, dan
bukannya ‘sokongan kalian dalam majlis ini’ dapat mengukuhkan pemahaman Chin dan
pelajar yang lain.

Kerjasama
Hasil pemerhatian jelas menunjukkan bahawa semua peserta kajian memberikan kerjasama
sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Komunikatif di dalam kelas.
Setiap aktiviti yang diberi oleh pensyarah sama ada secara individu atau kumpulan dapat
dilaksanakan oleh peserta kajian mengikut jangka masa yang ditetapkan. Kerjasama dalam
kumpulan dapat membantu pelajar yang menghadapi kesukaran untuk memahami sesuatu
perkara dengan mendapat sokongan daripada rakan sekumpulan. Kecekapan
berkomunikatif dengan santun yang dimiliki oleh Alif, Prema dan Lisa dapat membantu
Kim dan Chin yang kurang menguasai perbendaharaan kata yang baik dalam Bahasa
Melayu. Secara tidak langsung, unsur kerjasama antara mereka dapat membina kemahiran
interpersonal dan sekali gus mendorong peserta kajian meningkatkan motivasi mereka
untuk mempelajari kesantunan bahasa. Hal ini diakui oleh Prema, Kim dan Chin yang
menyatakan bahawa kerjasama dalam kumpulan dapat memudahkan mereka melaksanakan
tugasan, di samping memperbaiki kecekapan komunikatif masing-masing . Manakala Alif
pula berpendapat bahawa unsur kerjasama adalah kemahiran penting yang perlu diasah
sama seperti dalam kehidupan sebenar. Lisa pula menganggap bahawa kerjasama dalam

98
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

aktiviti kumpulan dapat mencetuskan idea baharu untuk dirinya, di samping mudah untuk
menyiapkan tugasan berbanding jika dia melakukannya seorang diri .

Persaingan
Unsur persaingan pula memberikan impak yang berbeza bagi setiap peserta kajian. Bagi
Alif, Prema dan Lisa unsur persaingan ini dapat meningkatkan keyakinan diri mereka
untuk menunjukkan keterampilan berkomunikasi dengan cekap di hadapan khalayak. Alif
berpendapat bahawa unsur persaingan antara rakan dapat membantunya membaiki
kelemahan diri dan berfikir secara positif . Manakala Lisa menganggap bahawa aktiviti
bahasa yang dijalaninya di bilik darjah dapat memberi keyakinan diri untuk bersaing
dengan lebih baik dengan rakan sekelasnya. Manakala Prema pula berpendapat Alif
adalah salah seorang pelajar yang boleh dijadikan contoh dari segi kecekapan
berkomunikasi. Keupayaan untuk menampilkan idea yang bernas serta menunjukkan
kecekapan berkomunikasi dengan cekap dan santun di khalayak pula mendorong Prema
untuk bersaing dengan Alif, Lisa serta rakan-rakan lain di dalam kelas .

Hal ini berbeza dengan peserta kajian seperti Chin dan Kim yang menyebut bahawa unsur
persaingan ini ada kalanya menyebabkan mereka rasa tertinggal dan rendah diri jika tidak
mampu bersaing dengan rakan yang lain. Menurut Chin, “ada masa saya rasa malu jika tak
boleh bagi idea pada kawan. Orang lain boleh bagi idea bagus, maa...”. Begitu juga
dengan Kim yang mengakui bahawa dia berasa rendah diri jika tidak dapat meluahkan
perkataan yang sepatutnya seperti apa yang difikirkannya. Kim menyatakan bahawa, “rasa
susah mau cakap ada idea tapi tak tau mau kongsi macam mana. Kadang kala saya guna
perkataan dalam bahasa Inggeris dan kawan tolong translate idea tu dalam Bahasa
Melayu”. Perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu yang terhad menyebabkan Chin dan
Kim te ragak-agak untuk berkomunikasi dengan cekap secara spontan. Unsur persaingan
ini jelas tidak memberi kelebihan kepada Chin dan Kim untuk meningkatkan keyakinan
diri mereka untuk terampil berbahasa. Hal ini selaras dengan pandangan Malone dan
Lepper (1987) serta Hashim Othman (2011) yang menyatakan bahawa unsur persaingan
boleh mengakibatkan seseorang pelajar yang tersingkir dalam persaingan akan berasa
rendah diri berbanding rakan mereka yang yang menang dalam persaingan tersebut.

Pengiktirafan
Pengiktirafan adalah salah satu daripada unsur motivasi yang dapat dilihat dengan jelas
dalam pemerhatian terhadap peserta kajian. Hal ini diakui sendiri oleh semua peserta
kajian bahawa unsur pengiktirafan oleh pensyarah dan rakan-rakan dapat mendorong
mereka untuk berusaha dengan lebih gigih dan sekali gus meningkatkan keyakinan diri
untuk berkomunikasi dengan santun. Menurut Alif, pujian yang diberi oleh pensyarah
sewaktu dia berpidato di hadapan khalayak dapat meningkatkan keyakinan dirinya bahawa
dia dapat menyampaikan hujah dengan baik dan berupaya menarik minat audiens untuk
mendengar isi yang disampaikannya . Hal ini juga dapat diperhatikan dari segi
penyampaian Alif yang menunjukkan dia seorang pemidato yang cekap. Misalnya, Alif
dapat menggunakan gerak tangan, mata dan gerak badan yang selaras dengan penekanan
fakta yang diberi kepada audiens. Dari segi mimik mukanya pula selaras dengan
penekanan suara, iaitu senyum apabila gembira dan marah apabila emosi tinggi. Nada
suaranya juga dapat dipelbagaikan dan dikawal bagi tujuan tertentu. Contohnya, nada
tinggi dan bersemangat digunakannya untuk membakar emosi dan menarik perhatian
daripada audiens. Manakala nada perlahan sedikit apabila hendak merayu dan meminta
99
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

simpati daripada khalayak. Unsur keindahan bahasa yang dimasukkan dalam pidato
seperti pantun dan perumpamaan jelas menunjukkan kecekapannya menguasai bahasa
dengan baik. Maklum balas positif daripada Encik Mustafa yang memuji Alif sebagai
contoh seorang pemidato yang cekap kerana memiliki kemahiran-kemahiran untuk
memulakan pidato dengan menarik, mampu melahirkan pendapat dengan bernas,
penyampaian yang menarik serta menutup pidato dengan membuat rumusan keseluruhan .

Begitu juga dengan Prema yang jelas menunjukkan riak wajah yang gembira apabila
menerima maklum balas yang positif daripada pensyarah yang mengiktiraf keupayaannya
untuk mengendalikan mesyuarat dengan baik. Keterujaan Prema ini diluahkannya sewaktu
temu bual dengan pengkaji. Menurut Prema, “rasa puas hati dan gembira kerana dapat
sokongan daripada En. Mustafa dan rakan-rakan. Kini saya rasa lebih yakin, tak cuba
sampai bila pun saya tak tahu keupayaan diri saya”. Manakala Kim, Chin dan Lisa pula
menyatakan bahawa pengiktirafan dalam bentuk pujian daripada pensyarah dapat
mendorong mereka untuk berusaha dengan lebih baik. Hal ini selaras dengan pandangan
Malone dan Lepper (1987) serta Schunk, Pintrich dan Meece (2008) yang menyatakan
bahawa unsur pengiktirafan sosial yang diberikan oleh guru dapat memberi peneguhan
kepada pelajar dan sekali gus bermanfaat untuk proses pembelajaran kesantunan bahasa di
dalam bilik darjah. Hal ini juga dibuktikan melalui kajian-kajian lalu yang menunjukkan
kaitan antara pengiktirafan dengan peningkatan prestasi murid dari segi motivasi (Su
Chooi Hong, 2009; Riffat-Un-Nisa Awan, Ghazala Noureen dan Anjum Naz , 2011).

KESIMPULAN

Berdasarkan dapatan kajian di atas, jelas menunjukkan bahawa pembelajaran kesantunan


bahasa berkait rapat dengan unsur motivasi intrinsik yang dimiliki oleh pelajar
sebagaimana yang diperkatakan oleh para sarjana seperti Deci dan Ryan (1985) serta
Malone dan Lepper (1987) berbanding motivasi ekstrinsik. Sampel kajian seperti Alif,
Chin dan Kim menganggap bahawa ganjaran luaran merupakan satu bonus tambahan bagi
meningkatkan pencapaian. Oleh itu, guru yang ingin mempertingkatkan motivasi intrinsik
pelajarnya mesti tahu cara memberikan peluang yang sebenar kepada pelajar untuk
mengawal pembelajarannya. Tegasnya, motivasi intrinsik hanya akan wujud jika aktiviti
yang dijalani itu dapat membangkitkan minat serta seseorang itu memiliki persepsi bahawa
diri mereka cekap dan berkebolehan, mempunyai autonomi dan berupaya untuk
menghubungkaitkan kesesuaian hubungan dengan persekitaran. Dapatan kajian ini selari
dengan pandangan Hashim Othman (2011) yang menyatakan bahawa jika pelbagai model
pengajaran daripada pelbagai perspektif pembelajaran dapat diintegrasikan dengan unsur-
unsur yang boleh menimbulkan motivasi intrinsik oleh pensyarah, pembelajaran
kesantunan bahasa yang menyenangkan adalah merupakan insentif yang paling bernilai
untuk pelajar.

Tempoh masa pengajaran dan pembelajaran yang singkat dengan isi kandungan Pro Forma
Bahasa Melayu Komunikatif yang padat pula menyebabkan peluang untuk pelajar seperti
Chin dan Kim mempraktikkan keupayaan berbahasa dalam konteks yang sebenar secara
formal agak terhad. Dalam konteks ini, prinsip pengalaman seperti yang diutarakan oleh
DePorter, Reardon dan Nourie (2010) sebenarnya memainkan peranan penting bagi pelajar
untuk mengalami sendiri pengalaman tersebut sebelum mereka didedahkan dengan konsep
100
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

santun bahasa secara formal. Kajian ini mencadangkan agar unsur motivasi diintegrasikan
secara terancang dalam proses pembelajaran kesantunan bahasa agar dapat meningkatkan
kecekapan komunikatif yang santun dalam kalangan pelajar. Justeru, pembelajaran
kesantunan bahasa yang diajar secara terancang melalui penawaran kursus-kursus di IPG
diharap dapat menjadi acuan utama bagi membentuk tingkah laku sopan dan kecekapan
komunikatif yang santun dalam kalangan pelajar sewaktu berkomunikasi dan sekali gus
menangani isu ketidaksantunan bahasa yang diuar-uarkan oleh para sarjana sebelum ini.

RUJUKAN

Abdullah Hassan (2007). Tatabahasa sosial: Peraturan kesantunan bahasakebangsaan.


Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Abdul Hamid Mahmood (2007). Kesantunan bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu. Jurnal Persatuan Linguistik, 8, 1-19.

Asmah Haji Omar (2002). Setia dan santun bahasa. Tanjong Malim: Penerbitan
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Awang Sariyan. (2007). Santun berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Deci, E. L., Nezlek, J., dan Sheinman, L.(1981). Characteristics of the rewarder and
intrinsic motivation of rewardee. Journal of Personality and Social Psychology,
40, 1-10.

Deci, E.L. dan Ryan, R.M. (1985). Intrinsic motivation and self-determination in human
behavior. New York: Plenum Press.

Deci, E.L dan Ryan, R.M. (2000). Intrinsic and extrinsic motivations: Classic definitions
and new directions. Dimuat turun pada pada 10 Mac, 2012, dari
http://www.ideallibrary.com.

DePorter, B., Reardon, M. dan Nourie, S.S. (2010). Quantum teaching: Mempraktikkan
quantum learning di ruang-ruang Kelas. Terj. Ari Nilandri. Bandung: Penerbitan
Kaifa.

Harter, S. (1982). A developmental perspective on some parameters of self-regulation in


children. Dalam Kanohl dan Ranfer (eds.) Self Management and Behaviour
Change (hlm.165-204). New York: Pergamon Press.

Hashim Othman (2011). Pembelajaran yang mendidik dan menyenangkan. Dalam Effy
Mulyatari,et. al (Eds.), Pedagogik praktis yang berkualitas, (hlm 10-17). Bandung:
Rizqi Press.

Kementerian Pelajaran Malaysia (2011). Pro Forma Bahasa Melayu Komunikatif I 2011.
Cyberjaya: Institut Pendidikan Guru.

101
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Kementerian Pelajaran Malaysia (2011). Pro Forma Bahasa Melayu Komunikatif II 2011.
Cyberjaya: Institut Pendidikan Guru.

Mahzan Arshad (2008). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu: Strategi perancangan dan
pelaksanaan. Kuala Lumpur: Utusan Publications dan Distributors Sdn Bhd.

Malone, T.W. dan Lepper, M.R. (1987). Making learning fun: A Taxonomy of Intrinsic
Motivations for Learning. Dalam Snow, R.E Dan Farr, M.J. (Eds), Aptitude,
Learning, and Instruction: III. Cognitive and Affective Process Analyses (hal. 223-
253). Hillsdale, NJ: Erbaum.

Mohd Anizu Mohd Noor dan Siti Salwa Mohamad (2010). Faktor di antara motivasi
intrinsik dan ekstrinsik ke atas penglibatan para pelajar terhadap aktiviti
pendidikan luar: Satu kajian kes. Dimuat turun pada pada 27 Mac, 2012, dari
http://eprints.utm.my.

Riffat-Un-Nisa Awan, Ghazala Noureen dan Anjum Naz (2011). A study of relationship
between achievement motivation, self concept and achievement in English and
Mathematics at Secondary. Dimuat turun pada 26 Mac, 2012, dari
http://proquest.umi.com.

Ryan,R.M., dan Grolnick, W.S. (1986). Origins and pawns in the classroom: Self-report
and projective assessments of individual differences in childrens perceptions.
Journal of Personality and Social Psychology, 50, 550-558.

Salinah Abdul Kadir (2008). Kajian kesantunan bahasa dalam kalangan remaja kini.
Tesis Sarjana Pendidikan yang tidak diterbitkan, Universiti Pendidikan Sultan
Idris, Tanjong Malim, Perak.

Schunk, D. H, Pintrich, P.R., & Meece, J. L. (2008). Motivation in education: Theory,


research and applications. Upper Saddle River, New Jersey: Pearson PrentIce-
Hall.

Spaulding, C.L. (1992). Motivation in the classroom. New York: McGraw Hill.

Su Chooi Hong (2009). Perbandingan penggunaan kaedah bercerita dan kaedah


konvensional terhadap minat, motivasi dan pencapaian murid tahun lima Sekolah
Jenis Kebangsaan Cina dalam Pendidikan Moral. Tesis Doktor Falsafah yang
tidak diterbitkan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Yahya Othman (2005). Budi bahasa dalam pengajaran Bahasa. Dewan Bahasa, 5(7) 31-
33. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zuraini Ramli, Dahlia Janan, Husna Faredza Mohamad Redzwan dan Khairul Azam
Bahari (2009). Amalan kesantunan berbahasa di sekolah. Projek Geran
Penyelidikan yang tidak diterbitkan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong
Malim

102

Potrebbero piacerti anche