Sei sulla pagina 1di 2

Daripada contoh yang telah dikemukakan diatas, dapat disimpulkan bahawa Dokumen Standard

Kurikulum ini mempunyai kepentingan di dalam sistem pendidikan pada hari ini. Antara kepentingan
yang diperolehi dengan termaktubnya Kurikulum Standard Sekolah Rendah ini ialah :

1. Guru memahami dengan lebih jelas objektif yang ingin dicapai dalam sesuatu topik

· Dengan adanya Dokumen Standard yang terdiri daripada Standard Kandungan dan Standard
Pembelajaran serta modul pengajaran yang turut disediakan sebagai panduan untuk guru melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran. Modul Pembelajaran adalah untuk bahan pembelajaran untuk murid
untuk menggantikan buku teks. Modul ini akan menjadi rujukan guru sejauh mana tahap yang perlu
dikuasai oleh setiap murid dan guru tidak akan tersasar dari objektif yang telah ditetapkan oleh pihak
kementerian.

2. Meningkatkan kredibiliti guru

· Sistem penilaian peringkat sekolah yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran Malaysia


menggantikan kaedah peperiksaan yang dilaksanakan untuk murid sebelum ini mampu meningkatkan
kredibiliti seseorang guru. Ini kerana pentaksiran berasaskan sekolah memberi hak 100% kepada guru
untuk menilai murid-murid semasa di dalam bilik darjah. Penilaian sebanyak 60% oleh guru dan 40%
markah peperiksaan peringkat pusat akan diambil kira dalam memberikan murid gred sebagai
keputusan yang menentukan hala tuju murid tersebut. Penilaian peringkat sekolah membolehkan guru
menilai prestasi serta membimbing murid tersebut untuk memberikan yang terbaik sepanjang proses
pembelajaran di dalam bilik darjah.

3. Memastikan murid melepasi standard yang ditetapkan

· Guru boleh menyediakan instrumen berdasarkan Dokumen Standard Prestasi yang dibekalkan oleh
Lembaga Peperiksaan. Di dalam Dokumen Standard Prestasi ini, terdapat band yang merangkumi band 1
hingga band 6. Kebaikan dilaksanakan penilaian berasaskan sekolah adalah untuk murid yang berada
pada aras lemah kerana guru boleh mempelbagaikan instrument bergantung pada tahap murid. Tidak
semestinya satu instrument untuk keseluruhan kelas yang diajar. Guru mempunyai target untuk setiap
murid bagi mencapai band yang telah diharapkan. Apabila murid tersebut tidak mencapai band yang
diharapkan maka guru boleh menukar instrument yang baru tetapi masih lagi berlandaskan Dokumen
Standard Prestasi tersebut. Selain itu, guru perlu terbuka dalam menilai pencapaian murid kerana setiap
individu itu mempunyai kelebihan dan kelemahan yang dapat dilihat guru.

4. Mengenalpasti strategi penambahbaikan

· Dokumen Standard Kurikulum yang ada di dalam KSSR adalah usaha menyusun semula pelan
menambahbaik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan,
kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa. KSSR ini juga dapat menangani isu
pendidikan seperti kepadatan jadual waktu, bilangan matapelajaran yang banyak serta keterlaluan.
Justeru, pendekatan sebegini memberi penegasan kepada pelaksanaan kaedah pentaksiran berasaskan
sekolah bagi menjadikan proses P&P di dalam kelas menjadi lebih menyeronokkan dan tidak terlalu
berorientasikan peperiksaan. Murid juga digalakkan meningkatkan pembabitan dalam aktiviti kurikulum
di bilik darjah serta kokurikulum di luar bilik darjah. Selain itu, penambahan elemen kreativiti dan
inovasi di dalam kurikulum, corak pengajaran dan proses pembelajaran serta sistem penilaian perlu
diterapkan dalam pendidikan negara bagi menghasilkan modal insan yang berdaya saing. Guru juga
boleh menerapkan kemahiran asas ICT di dalam proses pengajaran kerana kemahiran ini termasuk
dalam modul KSSR.

5. Mengatasi masalah keciciran murid

· Melalui pendekatan modul pembelajaran untuk murid menggantikan buku teks, setiap sesi
pengajaran akan berupaya mewujudkan fokus kepada sesuatu kemahiran utama dengan
mengintegrasikan kemahiran lain secara menyeluruh. Selain itu juga,dengan menggunakan Dokumen
Standard Prestasi yang ada akan menyebabkan guru memainkan peranan yang bersepadu untuk semua
muridnya. Setiap murid perlu ditaksir oleh guru secara individu dan ini menyebabkan tidak akan timbul
masalah murid tercicir. Tidak seperti kurikulum yang digunakan sebelum ini yang mana tiada
pentaksiran yang berterusan dilakukan oleh guru, hanya bergantung kepada peperiksaan yang
disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Oleh yang demikian, perubahan dalam arus globalisasi memerlukan perubahan yang seimbang dengan
kurikulum pendidikan di negara ini agar murid-murid yang menjadi pelapis generasi akan datang tidak
ketinggalan dalam arus pemodenan dunia.

Potrebbero piacerti anche