Sei sulla pagina 1di 4

1.

0 PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), disiplin didefinisikan sebagai


kelakuan yang boleh mengawal diri sendiri dan patuh kepada tatatertib atau peraturan yang
ditetapkan. Disiplin adalah aspek yang penting dalam sebuah bilik darjah kerana dapat
memastikan pengurusan yang berkesan oleh guru agar dapat mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang kondusif bagi para murid. Charles (2002) menerangkan bahawa disiplin
bilik darjah adalah bertujuan untuk mengurangkan campur tangan guru di dalam bilik darjah
dari semasa ke semasa dengan memupuk disiplin kendiri murid. Pelbagai jenis teknik
diaplikasikan oleh para guru dengan harapan dapat menanamkan disiplin kendiri murid
seterusnya menghentikan salah laku di dalam bilik darjah.

Masalah disiplin dalam bilik darjah sememangnya berlaku di negara Malaysia. Pada
23 Julai 2017, KedahNews Portal melaporkan kejadian pelajar berusia 13 tahun ditahan
kerana didakwa telah meracuni rakan sekelasnya dengan racun lipas. Kes yang berlaku di
Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman itu berlaku apabila suspek telah memberikan
mangsa sebuah bekas mi goreng yang telah dicampurkan dengan racun lipas. Mangsa
kejadian dilaporkan tidak mengetahui perkara tersebut telah bertindak memakan makanan
tersebut menyebabkan mangsa mengalami muntah dan dikejarkan ke hospital. Akhirnya,
datuk suspek telah membuat laporan polis dan mengatakan bahawa suspek sering dibuli
oleh mangsa yang meminta wang dan makanan setiap hari.

2.0 MASALAH KES

Dalam kes tersebut, suspek telah dikenalpasti bahawa dia sering dibuli oleh
mangsa di sekolah. Mangsa kejadian kerap meminta wang dan makanan daripada suspek
membuktikan kejadian yang berlaku ini merupakan kesan daripada kes buli. Jika dikaji
secara mendalam, kesan masalah disiplin ini iaitu buli telah menyebabkan berlakunya
salah laku yang berat di mana kes yang disiasat adalah di bawah Seksyen 328 Kanun
Keseksaan, iaitu menyebabkan kecederaan akibat racun.

Dalam satu kajian kesihatan oleh Seixas, Coelho & Nicolas-Fischer (2013), mangsa
buli biasanya akan mengalami perasaan kemurungan, berasa ditolak dan lemah kesan
daripada kes buli yang berpanjangan. Manakala, Seixas & et al. (2013) merumuskan
pembuli pula mengalami kenaikan dalam tahap keyakinan diri dan mempunyai persepsi
positif terhadap kesejahteraan diri mereka. Dengan ini, pembuli meneruskan salah lakunya
kerana berasa gembira melakukannya. Sebaliknya, mangsa buli yang mengalami masalah
emosi ini akan semakin berkembang perasaan benci, dendam dan malunya terhadap si
pembuli. Hal ini demikian menerangkan faktor yang mungkin menjadi akar umbi kepada
kes racun rakan tersebut. Mangsa buli telah didorong oleh perasaan-perasan batiniah
tersebut sehingga sanggup meracuni pembulinya dan boleh membawa kepada kematian.
Kejadian kes tersebut membuktikan bahawa kes buli dan balas dendam merupakan
masalah disiplin yang berbahaya serta seharusnya diambil langkah intervensi yang
berkesan oleh pihak berkuasa khususnya pihak sekolah.

3.0 MODEL PENGURUSAN DISIPLIN BAGI KES

(i) Model Pengurusan Disiplin Thomas Gordan

Model ini menerangkan disiplin bilik darjah dapat dicapai dengan membantu murid
memperoleh kawalan dalaman atau kawalan kendiri iaitu dengan menggunakan
pendekatan I-message, menghapuskan halangan komunikasi dan mengaplikasikan pelan
disiplin Gordan.

Model tersebut dipilih untuk memberi penyelesaian kepada kes buli yang terjadi.
Dalam buku Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel (2016), pelan disiplin model yang
kedua melibatkan pencegahan masalah dengan menggunakan pendekatan I-message
iaitu perasaan dan fikiran guru mengenai suatu tingkah laku dinyatakan. Dalam pendekatan
ini, guru dan para pelajar secara bersama berkolaborasi dalam menetapkan peraturan,
rutin serta tingkah laku yang diterima dalam bilik darjah. Oleh itu, guru boleh menetapkan
bahawa nilai saling menghormati dalam bilik darjah haruslah dijadikan amalan. Guru
haruslah sentiasa memberi penekanan bahawa amalan hormat-menghormati dapat
menggembirakan hatinya. Dengan itu, pembuli akan tergerak hati untuk menerima tingkah
laku yang diingini oleh gurunya.

Selain itu, model tersebut menerangkan kepentingan kemahiran mendengar dalam


pelannya oleh guru jika murid menghadapi masalah. Antara strategi yang boleh diambil
oleh guru untuk menyelesaikan masalah kes buli ini adalah memberi peluang kepada
kedua-dua pelajar tersebut untuk meluahkan masalah mereka. Guru boleh berjumpa
dengan pembuli tersebut dan mendengar masalah yang dialaminya sehingga sanggup
membuli rakan sekelasnya. Apabila perjumpaan ini diadakan, guru haruslah mengelak
daripada berlaku sebarang halangan komunikasi seperti mengelak dari memberi arahan,
memberi amaran, membebel, mengkritik, menyoal dan menasihati pelajar bermasalah itu.
Sebaliknya, ketika ini, guru hendaklah mendengar dengan pasif dan hanya memberi
respons melalui bahasa badan. Pendekatan ini akan membuat pelajar tersebut berasa
diambil berat dan membuka peluang baginya untuk meluahkan perasaan sebenarnya.
Setelah itu, guru boleh melakukan penyelesaian konflik dengan berkesan iaitu dengan
membawa kedua-dua pelajar itu berbincang bersama-sama penyelesaian kepada masalah
mereka. Sewaktu ini, guru tidak harus menyalahkan mana-mana pelajar sebaliknya
membuat rumusan akan apa yang sepatutnya tindakan betul yang patut diambil oleh
kedua-dua pelajar tersebut. Langkah ini dapat diambil untuk memulihkan hubungan kedua-
dua pelajar itu supaya mereka masing-masing sedar dan memperbaiki kesilapan mereka.

Model pengurusan disiplin ini menyarankan guru berhubung dengan ibu bapa untuk
mereka mengetahui apa yang terjadi terhadap anak mereka. Guru haruslah tidak segan
untuk memaklumkan kepada ibu bapa kedua pelajar ini apa yang berlaku agar ibu bapa
dapat mengambil tindakan yang sewajarnya. Guru seharusnya bekerjasama bersama
dengan ibu bapa dari kedua-dua pihak pelajar untuk sentiasa mengingatkan pelajar agar
tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama.

(ii) Model Akibat Logikal Dreikurs

Dreikurs (1968) dalam Myint Swe Khine & et al. (2004) menerangkan bahawa
antara satu elemen yang menyebabkan tingkah laku bermasalah adalah berpunca
daripada murid ingin membalas dendam kerana berasa disakiti. Hal ini bertepatan dengan
kes yang dikaji iaitu pelajar yang merupakan mangsa buli membalas dendam dengan
meracuni pembulinya. Dreikurs (1968) menggesa agar guru sedar bahawa salah laku
tersebut adalah disebabkan oleh tekanan perasaan yang dialami oleh mangsa buli
tersebut. Model ini dipilih kerana cara yang dicadangkan oleh Dreikurs untuk menangani
murid yang mempunyai motif yang salah adalah relevan dengan konteks kes yang dikaji.

Oleh itu, guru haruslah membantu pelajar tersebut untuk menyalurkan emosi
negatifnya kepada tingkah laku yang lebih bermanfaat. Pertama, guru haruslah
mengenalpasti motif pelajar mangsa buli tersebut. Guru boleh berjumpa secara
berhadapan dengan mangsa buli tersebut dan bertanyakan apakan motif yang ingin dicapai
olehnya dalam membalas dendam terhadap pembulinya. Seterusnya, guru boleh
membincangkan bersama pelajar mangsa buli tersebut untuk memahami bahawa tindakan
membalas dendamnya adalah salah dan boleh mendatangkan akibat yang tidak diingini.
Apabila pelajar tersebut menyedari keinginannya untuk membalas dendam adalah salah,
bimbing pelajar tersebut untuk menukar matlamat salahnya kepada matlamat sebenar.
Contohnya, guru boleh menasihati pelajar mangsa buli itu untuk sentiasa berfikiran positif
dan berjumpa dengan kaunselor sekolah untuk bersama-sama menangani kes buli
tersebut. Guru juga haruslah menggalakkan pelajar itu untuk kekal tabah dan menunjukkan
sifat penyayang kepada pelajar tersebut. Jika pelajar itu berasa diambil berat dan disayangi
oleh guru-guru sekolah, pelajar tersebut akan berupaya menghiraukan kesan negatif
daripada kes pembulian tersebut agar tidak lagi bermotif untuk membalas dendam
terhadap pembulinya.

Dreikurs (1968) dalam Charles (2002) menyatakan strategi untuk berkomunikasi


dengan pelajar iaitu dengan menekankan kekuatan pelajar sambil meminimumkan
kelemahan. Strategi ini dapat dilaksanakan di mana guru memberi peneguhan kepada
mangsa buli terhadap ciri positif yang ada pada dirinya seperti galakan untuk menaikkan
keyakinan dirinya. Tambahan pula, guru boleh memberi pujian secara berkala dan beri
pelajar mangsa buli tersebut tahu bahawa guru mempunyai kepercayaan kepadanya. Guru
seterusnya akan peroleh kepercayaan daripada pelajar tersebut agar pelajar itu berani
untuk meminta bantuan daripada guru pada masa kelak jika kes buli itu masih berkekalan.
Dengan itu, perasaan dendam dalam diri pelajar tersebut akan beransur kurang.

Dreikurs & Cassel (1972) dalam Bear (2005) turut mengesyorkan untuk melibatkan
rakan sebaya untuk menolong pelajar yang dibuli tersebut agar dia berasa disukai. Guru
haruslah mengambil inisiatif dengan menasihati rakan-rakan sebayanya menolong pelajar
tersebut jika mereka nampak pelajar itu dibuli lagi.

4.0 RUMUSAN

Secara kesimpulan, masalah disiplin bilik darjah memerlukan pendekatan dan


kaedah yang sesuai bagi membantu menangani masalah tersebut. Guru khususnya perlu
sentiasa membuat refleksi tentang pengurusan disiplin bilik darjah yang berkesan bagi
memastikan persekitaran pembelajaran sentiasa kondusif dan terjaga. Oleh itu, Model
Akibat Logikal Dreikurs dan Model Pengurusan Disiplin Thomas Gordan adalah dua model
yang dilihat relevan untuk menangani masalah disiplin dan salah laku yang terjadi dalam
kes yang dikaji. Masalah disiplin buli dan salah laku yang disebabkan oleh dendam boleh
ditangani dengan mangambil langkah penyelesaian proaktif selaras dengan panduan
pengurusan disiplin dua model yang telah dinyatakan.

(1288 patah perkataan)

Potrebbero piacerti anche