Sei sulla pagina 1di 6

1.

0 PENGENALAN

Wacana ialah unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut.
Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana dapat direalisasikan dalam
pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Secara umumnya wacana dapat
dikaitkan dengan tiga kategori besar iaitu melampaui ayat, penggunaan bahasa dan juga
amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu bahasa.

Terdapat tujuh ciri dalam wacana iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat,
keadaan dan interteks. Sebuah wacana yang baik akan memenuhi ciri-ciri wacana yang telah
dikemukakan. Selain itu, wacana pula terbahagi kepada dua jenis iaitu wacana lisan dan
wacana tulisan. Wacana lisan ialah wacana yang dihasilkan melalui media lisan iaitu
melibatkan hubungan pembicara dan pendengar manakala wacana tulisan pula ialah wacana
yang disampaikan secara bertulis yang mana melibatkan hubungan antara penulis dengan
pembicara.

Setiap wacana mempunyai penanda yang juga dikenali sebagai penanda wacana. Antara
fungsi penanda wacana ialah sebagai tambahan, urutan, penyataan semula, untuk
menunjukkan sebab, kesan waktu dan tempat serta berfungsi untuk membuat bandingan serta
rumusan sesuatu wacana.

Penanda wacana amat penting kepada sesuatu wacana kerana tanpa penanda wacana yang
tepat akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan
dan perpautan yang lengkap. Secara umumnya penanda wacana dalam bahasa melayu terdiri
daripada penanda leksikal, penanda rujukan, penanda penghubung, penanda penggantian dan
penanda elipsis atau pengguguran.

2.0Definisiwacana

Perkataan Wacana adalah padanan perkataan discourse dalam bahasa Inggeris. Perkataan
discourse dalam Kamus Webster, 1983 : 522 bererti hubungan fikiran dengan kata-kata,
ekspresi idea-idea atau gagasan-gagasan atau percakapan. Hubungan secara umum, terutama
sebagai suatu subjek kajian atau pokok bahasan, risalah tulisan, disertasi formal, kuliah,
ceramah serta khutbah.

Perkataan wacana menurut Kamus Dewan Edisi Baru 1993 : 1484 bermaksud ucapan,
pertuturan, percakapan, keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan.

Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi komponen yang penting
bagi wacana. Wacana adalah sebagai kesinambungan cerita dengan bahasa yang mudah dan
kesinambungan ini ditunjang oleh jalinan maklumat. Dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu
pula telah diperkenalkan beberapa definisi wacana. Dari segi hierarki tatabahasa , wacana
terletak pada heirarki yang tertinggi selepas ayat, seperti yang tergambar dalam rajah berikut
:
Perkataan --> Ayat --> Klausa --> Frasa --> Wacana

Keseluruhan terbitan atau hasil karya dalam sesuatu bahasa. Berdasarkan erti perkataan
wacana di atas dapat disimpulkan bahawa perkataan wacana itu sama dengan perkataan
ucapan yang utuh untuk wacana lisan, dan karangan yang utuh untuk wacana tulisan dalam
pengajaran bahasa Melayu sebelum ini. Wacana ialah satu unit bahasa yang lengkap . Ia
melebihi tingkat ayat. Oleh kerana sifatnya yang lengkap wacana mempunyai tubuh teks
seperti berikut:
a. Pendahuluan
b. Tubuh - isi, munasabah, logik, menarik, berkesan, usur-unsur paralinguistik (tanda bacaan,
cetakan tebal, miring, garis tebal)
c. Penutup
d. graf, jadual, peta dan statistik.

Wacana boleh ditulis dalam pelbagai bentuk penulisan, iaitu sama ada naratif (pemerian),
deskriptif (pengambaran), eksposisi (pendedahan) atau penghujahan. Untuk memperoleh
gambaran yang lebih jelas, definisi wacana telah dihurai serta diterangkan oleh beberapa
tokoh bahasa di bawah ini, antaranya ialah :

Asmah Haji Omar (1982)3 menegaskan bahawa wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas
ayat, yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang
berurutan seperti ayat, sejumlah ayat, ceraian, perenggan, bab, buku, novel, cerpen, cerita,
dialog, siri buku (cerita) dan sebagainya. Menurut beliau lagi, wacana tidak mempunyai satu-
satu jenis ayat yang terdiri dengan utuhnya tanpa dipengaruhi oleh proses-proses kelahiran
ayat. Ini bermaksud bahawa ayat yang selalu didapati dalam struktur dan sistem secara
teratur. Asmah telah membezakan ayat sistem daripada ayat wacana. Ayat sistem adalah ayat
atau tutur yang dikeluarkan dan diasingkan dari konteks wacana, sedangkan ayat wacana yang
juga disebut ayat teks adalah ayat yang betul-betul terdapat dalam wacana teks dan wacana
lisan.

Menurut Raminah Haji Sabran (1984:218) dalam bukunya yang bertajuk Kajian Bahasa untuk
Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas
ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, dialog, siri
buku dan sebagainya yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan
perkembangan fikiran yang berturutan. Menurut beliau lagi, wacana merupakan kesatuan
bahasa yang lengkap.

Menurut Fokker (1951)4 pula, hubungan kesinambungan cerita itu dapat menunjukkan secara
nahuan, iaitu perujukan (verwijzing), kata-kata penghubung (verbindingswoorden) dan
pengguguran (ellips). Kesatuan makna dalam wacana seperti yang diterangkan di atas akan
dilihat dari segi makna logik dan makna tautan. Makna tautan inilah yang merupakan konsep
semantik dan merujuk kepada perkaitan kebahasaan yang didapati pada suatu ujaran yang
membentuk wacana.

Stubbs, Michael menyatakan bahawa wacana merupakan kesatuan bahasa yang lebih besar
daripada ayat atau klausa. Dengan kata lain, wacana merupakan unit-unit linguistik yang lebih
besar daripada ayat atau klausa, seperti pertukaran-pertukaran percakapan atau teks-teks
tertulis. Secara ringkas, yang disebut teks bagi wacana adalah ayat bagi ujaran.
Harimurti Kridalaksana (1984:204)1 menyatakan bahawa wacana adalah satuan bahasa
terlengkap; dalam hierarki tatabahasa merupakan satuan tatabahasa tertinggi atau terbesar.
Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku, ensiklopedia,
dan sebagainya, paragraf, ayat atau kata yang membawa amanat yang lengkap.

Anton M.Moeliono (1995:407)2 mendefinisikan wacana adalah rentetan kalimat yang berkaitan
sehingga terbentuklah makna yang serasi di antara kalimat itu.

Henry Guntur Tarigan menegaskan bahawa wacana adalah satuan bahasa yang terlengkap dan
tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi dan kohesi tinggi yang
berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan secara lisan atau
tertulis.

Setelah dilihat beberapa huraian tentang beberapa definisi mengenai wacana yang diambil
daripada berbagai-bagai sumber, dapat dilihat bahawa adanya persamaan dan juga perbezaan
pendapat mengenai dengan definisi wacana yang diperolehi dari ahli-ahli linguistik ataupun
penulis.

Secara tuntasnya, wacana letaknya lebih tinggi daripada ayat pada skala tatatingkat
tatabahasa dan mempunyai keteraturan fikiran logik (coherence) dan juga tautan (cohesion)
dalam strukturnya. Wacana dicirikan oleh kesinambungan maklumat. Makna kesinambungan di
sini adalah diertikan sebagai kesatuan makna. Terdapat lapan unsur-unsur penting dalam
wacana iaitu satuan bahasa, terlengkap, mengatasi ayat atau klausa, teratur atau tersusun
rapi, berkesinambungan, kohesi, lisan atau tulisan awal dan juga akhir yang nyata.

3.0 Konsep wacana

Wacana berasal daripada perkataan wacana berasal daripada bahasa Jawa wocono. Wocono
pula daripada woco yang bermaksud baca. Dalam bahasa Inggeris, discourse berasal daripada
bahasa Latin discursus yang bermakna larian ke dan dari. Menurut Chafe, wacana digunakan
dengan pelbagai maksud oleh pelbagai pengkaji. Tetapi, pada umumnya wacana dilihat sebagai
sesuatu yang melampaui sempadan ayat yang terpisah-pisah. Wacana dan teks digunakan saling
bertukar ganti, dan kedua-duanya merujuk kepada unit bahasa yang lebih besar daripada ayat.
Wacana, menurut beliau lagi, merujuk kepada kajian tentang unit tersebut, cabang linguistik
yang setara dengan cabang yang lain seperti morfologi atau sintaksis.

Menurut Trask, wacana dikatakan sebagai siri ujaran yang bersambungan oleh seorang penutur
atau lebih. Crystal menyatakan wacana dalam linguistik merujuk kepada jujuhan bahasa
(biasanya lisan) yang lebih besar daripada ayat. Crystal juga mendefinisikan wacana sebagai
unit perlakuan. Unit ini mempunyai status prateori dalam linguistik, iaitu seberkas ujaran yang
terdiri daripada peristiwa bahasa seperti perbualan, khutbah dan temu duga. Cook
mendefinisikan wacana sebagai bahasa dalam penggunaan dan untuk perhubungan (Sanat,
2002:35-36). Dijk (1997: 1-34) menyatakan konsep wacana kabur kerana tentang fenomena
yang rencam. Namun, wacana menurut beliau suatu bentuk penggunaan bahasa yang
melibatkan komunikasi dan interaksi. Werth (1999: 1) pula melihat wacana sebagai suatu
peristiwa bahasa yang sempurna yang mempunyai awal dan akhir.

Selain itu, menurut Johnstone, B. (2002:2-4), wacana dilihat sebagai contoh sebenar
komunikasi melalui bahasa. Wacana juga dalam bentuk jamak merujuk kepada pola
kepercayaan dan tindakan lazim di samping pola bahasa. Wacana demikian merujuk kepada
idea dan cara bertutur sehingga dapat mempengaruhi dan dipengaruhi. Menurut Schiffrin et. al
(2003:1), wacana mempunyai makna yang berbeza kepada pakar yang berbeza bidang. Kepada
ahli bahasa, wacana biasanya didefinisikan sebagai apa sahaja yang melampaui ayat. Malah,
definisi wacana itu dapat dirangkumkan kepada tiga kategori besar, iaitu yang melampaui
ayat, penggunaan bahasa, dan amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu
bahasa. Mereka melihat wacana dan analisis wacana sebagai sama.

Dapat disimpulkan di sini bahawa wacana sebagai unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat
dan kajian tentang unit tersebut. Sebagai unit bahasa yang tertinggi, wacana dapat
direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Sebagai kajian,
wacana memfokuskan pada unit tertinggi bahasa itu sehingga meliputi amalan sosial.

Analisis wacana menurut Johnstone, B. (2002:2-4), memfokus kepada proses memecahkan


wacana kepada bahagian kecil dengan berdasarkan kriteria tertentu dan melihat ciri setiap
bahagian itu. Selain melihat ciri struktur bahagian itu, analisis wacana juga melihat fungsi
bahagian itu. Menurut beliau, analisis wacana sekadar metodologi.

Dijk,T. A.V. (Schiffrin et. al, 2003:352) melihat analisis wacana peringkat kritis se-bagai
sejenis kajian analisis wacana yang berfokus pada cara penyalahgunaan kuasa sosial,
penguasaan dan ketidaksetaraan dimuatkan, ditampilkan dan dipertahankan melalui wacana
dalam konteks sosial dan politik. Penganalisis wacana kritis mengambil pendirian yang jelas
untuk memahami ketidaksetaraan sosial sehingga sanggup mendedahkan dan memeranginya.

Wacana sebagai unit bahasa yang terbesar dianalisis melalui analisis wacana. Analisis wacana
pula berkait dengan pandangan bahasa (Sanat,2005a:131-132). Ada tiga pandangan bahasa
pada umumnya: Pandangan positivisme-empiris yang melihat bahasa sebagai jambatan antara
manusia dengan objek di luar dirinya. Analisis wacana dalam konteks pandangan ini tidak
melihat makna subjektif atau nilai yang mendasari penyataan. Sebaliknya, makna penyataan
dilihat sebagai kebenaran atau ketidakbenaran sesuatu wacana dari segi aturan tatabahasa,
seperti tautan dan runtutan.
Pandangan konstuktivisme menolak pandangan positivisme-empirisme yang memisahkan subjek
dengan objek. Subjek dianggap sebagai faktor utama dalam kegiatan wacana serta hubungan
sosialnya. Subjek memiliki kemampuan untuk men guasai maksud tertentu dalam setiap
wacana. Oleh itu, analisis wacana dimaksudkan sebagai suatu analisis untuk membongkar
maksud dan makna tertentu daripada penyataan subjek.

Pandangan kritis membetulkan pandangan konstuktivisme yang kurang sensitif kepada proses
produksi dan reproduksi makna yang terjadi secara historis dan institusional. Bahasa dalam
pandangan kritis difahami sebagai representasi yang berpe-ranan dalam membentuk subjek
tertentu, topik wacana tertentu, mahupun strategi di dalamnya. Oleh itu, analisis wacana
dipakai untuk membongkar kuasa yang ada dalam setiap proses bahasa.

Di sini, jelas analisis wacana bermaksud sebagai metodologi untuk melihat sama ada makna
penyataan sebagai kebenaran atau ketidakbenaran wacana, membongkar maksud dan makna
tertentu daripada penyataan subjek, atau membongkar kuasa dan ketidaksetaraan sosial yang
ada dalam setiap proses bahasa.

Konsep tatabahasa wacana pula dalam kertas ini selain sebagai tatabahasa yang mencakupi
unit tertinggi bahasa, iaitu wacana, juga mengambil kira asas penggunaan bahasa yang
mengambil kira koteks dan konteks yang cukup luas sehingga memungkinkan pengguna peka
teks, koteks, dan konteks amalan sosial dan amalan agama. Dengan kata lain, tatabahasa
seperti ini dikenali sebagai tatabahasa wacana mega (Sanat, 2005 dan 2006).

Konsep tatabahasa ini sama dengan analisis wacana dari segi cakupan tumpuan pada wacana
tetapi berbeza dari segi konteks amalan dan metodologi. Metodologi analisis wacana sekadar
menganalisis yang menurut Johns-tone, B. (2002:2-4) merujuk kepada proses analisis secara
eksplisit, sama ada mental atau mekanikal dalam memecahkan sesuatu kepada bahagian kecil.

11.0 KESIMPULAN

Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana mempunyai ciri-ciri yang terdiri
daripada tujuh tahap ketekstualan, iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat,
keadaan dan juga interteks. Selain itu, penanda wacana pula terdiri daripada lima jenis yang
disebut sebagai penanda leksikal, rujukan, penghubung, penggantian dan juga ellips.

Wacana juga terbahagi kepada dua jenis iaitu wacana jenis lisan dan wacana jenis tulisan.
Wacana jenis lisan merupakan wacana yang melibatkan antara penutur dan juga pendengar.
Sebagai contohnya ialah seorang guru yang bertanya kepada muridnya kenapa tidak hadir ke
kelas. Manakala wacana tulisan pula ialah wacana yang melibatkan bidang penulisan. Sebagai
contohnya ialah surat rasmi yang ditulis kepada kerajaan, laporan, memo dan sebagainya.
Wacana bukan sekadar diperingkat ayat, malahan meliputi perenggang, bab, buku dan siri
buku. Tujuh ciri ketekstualan perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang baik sama ada
dalam penghasilan penulisan atau pengucapan. Sesebuah wacana yang baik perlu
memperlihatkan pertautan dan kesinambungan idea. Pertautan dan kesinambungan idea ini
bukan sekadar antara ayat dengan ayat atau antara satu perenggang dengan satu perenggang,
bahkan dari satu bab dengan bab yang lain. Hal ini penting untuk memperlihatkan kesatuan
bagi menghasilkan wacana yang utuh.

Wacana juga penting bagi menghasilkan kerja yang bermutu selain daripada boleh
menyempurnakan sesuatu perkara. Sebagai contohnya, dengan menggunakan wacana yang
betul melalui percakapan seseorang itu akan menyebabkan seseorang itu akan dihormati oleh
orang lain. Hal ini kerana seseorang itu mampu mempamerkan kesungguhannya menggunakan
bahasa dengan betul ketika bercakap.

Potrebbero piacerti anche