Sei sulla pagina 1di 10

HNS 3023 D20151071789

PENGENALAN

Dr Adnan Bin Jusoh dilahirkan pada 2 Januari 1965, di Kampung Limau Kasturi,
18300, Gua Musang, Kelantan. Memulakan pendidikan di SK Limau Kasturi, 18300 Gua
Musang, Kelantan (1972-1978), SMK Gua Musang, Kelantan (1979-1980), SM Lemas, Pasir
Emas, Kelantan (1981-1982) dan SM Tengku Raja Lemal, Pasir Emas, Kelantan (1983-
1984). Mula berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan sebagai Pembantu Tadbir N9 di
Bahagian Pinjaman Perumahan, Jalan Duta, Kuala Lumpur (1992-1998). Kemudian
melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (1998-2001) dalam bidang Sejarah.
Pada 2 September 2001, bertugas sebagai kurator di Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kuala
Lumpur. Pada 1 Mac 2006, beliau ditempatkan di Jabatan Warisan Negara sehingga
dinaikkan pangkat ke jawatan S44 pada 1 April 2008. Mulai 2 Ogos 2010, beliau bertugas
sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Antara karya yang pernah ditulis beliau ialah Seni Pertukangan Cincin: Warisan Yang
Sukar Dipertahankan, Bab 13, di bawah himpunan buku karya Nazaruddin Zainun dan juga
Ishak Saat yang berjudul Warisan Malaysia, Cerakinan Sejarah dan Budaya yang diterbitkan
oleh Universiti Tun Hussein Onn, UTHM, Batu Pahat, Johor. Karya ini membincangkan
beberapa penemuan arkeologi menunjukkan objek perhiasan diri dalam kalangan wanita
semakin mendapat tempat. Di antara tapak-tapak arkeologi di negara ini yang ditemui gelang
batu ialah Gua Cha, Kelantan. Penggunaan gelang batu mungkin boleh dilihat sebagai titik
permulaan kepada terciptannya cincin sebagai objek perhiasan diri masyarakat awal. Ini
kerana gelang batu adalah terlalu berat untuk manusia melakukan aktiviti sama ada berburu,
pertanian atau lain-lain aktiviti. Justeru, sifat inovasi mendorong terciptanya cincin untuk
dipakai dijari kerana ia lebih kecil. Bagaimanapun cincin sebagai perhiasan diri dalam
masyarakat awal adalah diperbuat daripada logam dan bukannya cincin batu dan berubah
mengikut peredaran masa dan zaman iaitu besi, tembaga, gangsa dan emas pada masa kini.

Budaya bermaksud budi pekerti atau akal. Secara amnya membincangkan hal-hal
yang berkaitan budi dan akal manusia. Di dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala
sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia berlawanan dengan perkara semulajadi
yang bukan dicipta atau boleh diubah oleh manusia. Selain itu, pengertian kebudayaan
mempunyai hubungan erat dengan masyarakat. Menurut Melville J.Herlkovits dan Bronislaw
Malinowski segala sesuatu yang terdapat didalam ssebuah masyarakat mempunyai
hubungkait atau boleh ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri .

1
HNS 3023 D20151071789

Fahaman ini dikenali dikalangan ahli antropologi (kajian manusia) sebagai fahaman
determinisme (atau penentuan ) budaya. Herskovoils seterusnya memandang budaya sebagai
sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya dan konsep ini
disebut sebagai organik lampau. Menurut Andreas Eppirik keseluruhan pengertian nilai,
norma , ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan keagamaan selain
penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat.
Kesimpulannya, budaya boleh disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk
hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi
amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat.

ARTIKEL DARI SUMBER BUKU

Menurut Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, penggunaan cincin dalam
masyarakat melayu tidak diketahui bilakah ia bermula. Namun ada laporan yang mengatakan
bahawa ditapak arkeologi Sungai Mas, Lembah Bujang, Kedah pernah ditemui sebentuk
cincin emas. Implikasi dari penemuan objek ini secara tidak langsung telah menunjukkan
penggunaan cincin emas sebagai alat perhiasan diri sudah mendapat tempat dan telah wujud
sekian lama. Cincin emas dan gangsa juga telah ditemui di tapak arkeologi Sungai Batu,
Kedah. Penemuan ini berlaku pada tahun 2009-2010 semasa kerja-kerja ekskavasi arkeologi
yang dijalankan oleh Pusat Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM). Seni
pertukangan cincin Melayu tradisional tergolong dalam kerja-kerja pertukangan logam.
Industri ini amat popular di negeri-negeri pantai timur khususnya Kelantan dan
Terengganu.Terdapat dua jenis teknik pertukangan cincin iaitu tradisional dan juga moden.
Teknik tradisional menggunakan teknik acuan dengan menggunakan tulang sotong dan
memerlukan kepakaran tukang semata mata. Selain itu, lebih rumit dan memakan masa yang
lama dan memerlukan tempahan yang awal khususnya dari segi ukuran dan rupa bentuk.
Kadar penggunaan emas agak banyak kerana perlu proses mengikir dan asas sebentuk cincin
adalah dalam keadaan tebal untuk membuat motif dan pola hiasan. Teknik moden pula
banyak menggunakan mesin atau mould. Lebih cepat dan cincin boleh dibuat dengan jumlah
yang banyak dan berbentuk stereotype. Cincin yang dihasilkan bentuknya hampir sama
kerana ia seolah dicetak semula menggunakan acuan yang sama. Sementara itu, penggunaan
emas juga agak kurang kerana motif hiasanya telah disediakan, dan motifnya agak mudah
tetapi menarik. Semasa kedatangan Islam, pengunaan cincin emas adalah dilarang di

2
HNS 3023 D20151071789

kalangan orang lelaki namun terdapat alterntif baru dimana logam suasa diperkenalkan.
Logam suasa terdiri daripada campuran emas, perak dan tembaga dengan kadar nisbah yang
tertentu yang membolehkan orang lelaki turut serta dalam penggunaan cincin.

Menurut Encik Mohd Zain Loman, teknik membuat cincin tradisional masyarakat
Melayu khususnya di negeri Kelantan lazimnya melibatkan empat peringkat yang asas.
Peringkat tersebut ialah membuat acuan, melebur, mengetuk dan mengukir dan mengemas.
Acuan untuk membuat cincin adalah dengan menggunakan tulang sotong. Tulang sotong
akan dipotong dan dibelah mengikut anggaran saiz batu permata dan saiz longkang (jari
pemakai) yang dikehendaki. Satu lubang juga perlu dibuat dari kelongsong untuk
membolehkan cairan logam sama ada emas, perak atau suasa dituang kemudiannya diikat
dengan kemas supaya tidak terbuka setelah cairan logam panas dimasukkan. Proses melebur
logam sama ada emas, perak atau suasa dipanaskan dengan menggunakan dapur yang khas
dengan suhu yang tinggi. Selepas itu, cairan dituang ke dalam acuan tulang sotong melalui
lubang yang telah disediakan. Kepingan logam yang masih panas di dalam acuan tulang
sotong akan dikeluarkan dan dicelupkan ke dalam air sejuk, lazimnya cincin suasa yang
dihasilkan kurang bermutu dan cepat pudar warnanya. Setelah sejuk, logam asas yang
berbentuk cincin tersebut berada dalam keadaan keras, kasar dan sedia untuk proses
seterusnya. Seterusnya proses mengetuk dan mengukir yang memerlukan kadar kekuatan
yang tertentu bergantung kepada keperluan dan kepakaran tukang. Mana-mana lebihan logam
yang tidak diperlukan akan dibuang, bahagian terputus pula dipaterikan untuk disambung.
Bahagian yang tidak dapat dibuat semasa pembentukan cincin dalam acuan sebelum ini akan
dibuat semula, contohnya motif kuku itik. Pada peringkat ini, ketekunan dan kepakaran
tukang sangat diperlukan kerana ini menjadi asas kepada pembentukan cincin. Teknik yang
terakhir ialah kemasan. Proses ini melibatkan kerja-kerja pengemasan yang merangkumi
kerja mencuci, mengikis dan menggilap. Tompok-tompok hitam dikikis sehingga bersih dan
digosok dengan kertas pasir dan digilap dengan sejenis kimia yang memberikan yang
memberikan kemasan halus dan berseri. Jika terdapat lubang halus atau goresan, ia akan
ditampal dan digilap semula sehingga benar-benar cantik. Sebagai perbandingan, cincin yang
dibuat menggunakan teknik tradisional lebih sukar kerana memerlukan kreativiti dan
komitmen yang sangat tinggi. Justeru itu nilai sebentuk cincin yang di reka menggunakan
kaedah tradisional lebih mahal berbanding harga cincin yang dibuat di kilang. Dalam bahasa
yang mudah, nilai sebentuk cincin terletak pada kepakaran tukang, kreativiti serta motif yang
digunakan.

3
HNS 3023 D20151071789

Kehalusan seni sebentuk cincin lazimnya dapat memperlihatkan kemahiran dan


kepakaran seseorang dan seterusnya mencerminkan peradaban masyarakat yang
dianggotainya. Terdapat dua jenis bentuk ikat cincin tradisional didalam masyarakat Melayu
iaitu ikat bungkus dan ikat kuku kambing. Bentuk ikat bungkus merupakan cara atau bentuk
ikatan batu permata yang seolah-olah membungkus sekeliling batu permata. Ikatan bentuk ini
lebih mudah dilakukan dan lebih kukuh kerana struktur badan cincin akan memegang erat
keseluruhan batu permata tanpa ada ruang kosong. Ikatan ini juga lebih menyerlah
berbanding cara ikat kuku kambing. Justeru itu, ia lebih sesuai untuk kaum lelaki kerana
sifatnya lebih kukuh dan tahan. Bentuk ikatan kuku kambing merupakan elemen cengkaman
yang mengikat baloh (badan cincin) dengan batu permata seolah-olah berbentuk kuku
kambing. Selain berfungsi untuk mencantikkan cincin, fungsi kuku kambing ialah untuk
mencengkam batu permata pada setiap cincin bagi memastikan permata tidak jatuh. Biasanya
jumlah kuku kambing pada setiap cincin adalah didalam angka genap sama ada kuku empat,
kuku enam, kuku lapan ataupun kuku sepuluh. Jumlah kuku kambing pada cincin diambil
kira mengikut kesesuian saiz batu dan juga kehendak pelanggan. Struktur sesebentuk cincin
lazimnya terdiri daripada dua elemen iaitu bahagian badan dan batu permata. Bahagian badan
cincin secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu baloh dan longkang. Baloh atau badan
cincin merupakan induk cincin yang utama. Ia terdiri daripada sebahgian besar struktur badan
cincin yang meliputi gelang atau longkang dan kuku kambing. Longkang pula dikenali juga
dengan gelang cincin iaitu struktur yang memegang jari si pemakai. Longkang menjadi induk
cincin dan akan memegang batu permata yang terletak di atas jari si pemakai. Ia akan dicanai
dengan halus untuk memastikan ia tidak mencederakan jari si pemakai atau bahagian lain
ketika bergerak. Ukuran longkang atau gelang cincin adalah mengikut standard antarabangsa
bermula dari saiz nombor 1 hingga 33. Lazimnya jari masyarakat Melayu di Malaysia adalah
di dalam lingkungan saiz 8-32 sahaja. Batu permata terdiri daripada pelbagai jenis batu dan
harganya juga berbeza. Antaranya batu delima merah (ruby), zamrud (emarld), nilam, intan,
baiduri, jade, akib dan sebagainya. Ada juga seglintir orang Melayu yang menggunakan teras
kayu sebagai permata seperti raja kayu, teras kayu kekabu, teras salak, kemuning hitam,
buluh tumpat, nibong dan sebagainya.

Motif ialah sesuatu yang dijadikan dasar atau corak sama ada pada lukisan, ukiran dan
lain-lain. Lazimnya motif yang dipilih untuk dijadikan pola hiasan bagi sesuatu objek atau
barang adalah kerana sifat semulajadinya yang menarik, unik dan indah dipandang. Selain
itu, motif yang dipilih juga dianggap boleh memberi kesan nostalgia dan mempunyai nilai

4
HNS 3023 D20151071789

estetika yang tersendiri sama ada berupa elemen-elemen tumbuh-tumbuhan, bunga, bulan,
bintang, haiwan di daratan, haiwan yang terbang dan sebagainya. Ada juga motif yang dipilih
berupa sesuatu objek yang sukar ditemui atau jarang-jarang diberi perhatian sehingga
menimbulkan kekaguman lantaran atas sifatnya yang sangat unik. Secara umumnya, motif
yang dipilih akan mewakili sifat atau simbol yang kuat, ganas, bersifat pelindung, mewakili
bau, elemen ketuhanan, kedamaian dan sebagainya. Secara tradisinya, pembuatan barang
kemas dan hiasan akan mengambil ilham dari alam tabii dan budaya. Alam tabii
mengandungi pelbagai rupa dan bentuk yang unik dan sifatnya, sementara budaya
mengandungi adat, sikap, institusi, bahasa, sastera, seni bina, artifak, objek seni dan kini
teknologi. Lantaran itu, pemilihan kepada rupa dan bentuk terkini menjadi agak rumit. Antara
motif hiasan yang sering digunakan antaranya ialah Motif Awan Larat, Motif Bunga Ketam,
Bunga Kobis, Bungai Tanjung Pecah Sembilan, Motif Rama-rama, Burung Kenari, Pucuk
Kacang, dan Motif Sulur Bayur. Walau bagaimanapun didapati motif awan larat lebih
popular dan ditonjolkan dalam berbagai bentuk atau corak hiasannya berbanding dengan
motif-motif yang lain.

Menurut Mohainee Khalid, Barang Kemas Malaysia-seni dan Warisan, 1997. Kuala
Lumpur: Penerbit Balai Seni Lukis Negara, bahawa fungsi cincin sudah banyak diperkatakan,
namun ia amat popular digunakan untuk tujuan tertentu di antaranya seperti berikut, alat
perhiasan, adat perkahwinan, hadiah, hutang, senjata, dan juga penunduk. Cincin merupakan
salah satu objek yang digunakan untuk dijadikan alat perhiasan diri. Justeru itu, cincin akan
dihiasi dengan batu permata seperti delima, zambrud, nilam, jade, akid dan sebagainya. Di
samping itu, cincin juga akan dihiasi dengan pelbagai jenis ukiran motif hiasan untuk
menaikkan lagi seri si pemakai. Dalam adat perkahwinan pula cincin digunakan masyarakat
Melayu seperti acara merisik, bertunang, dan berkahwin. Cincin berfungsi sebagai ikatan suci
yang perlu dipertahankan oleh semua pasangan terutama yang baru berumah tangga. Cincin
juga boleh dijadikan hadiah istimewa untuk mengingati atau menghargai seseorang. Cincin
diklasifikasikan sebagai ikon sebuah persahabatan yang erat dan jujur yang mengikat
persahabatan dua insan. Cincin emas khususnya seringkali dijadikan sandaran untuk
seseorang yang kesempitan bagi meminjam wang. Dalam masyarakat kita sekarang cincin
emas kerapkali juga dijadikan barang cagaran di kedai pajak. Cincin juga boleh dijadikan
sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Batu permata yang diikat pada cincin yang
bersegi atau bulat akan menyebabkan pendarahan atau bengkak jika terkena bahagian muka,
dahi, atau bahagian yang lain. Terakhir sekali ialah penunduk. Bagi pengamal ilmu kebatinan,

5
HNS 3023 D20151071789

cincin kerapkali digunakan sebagai alat untuk penjagaan diri dan juga penunduk. Lazimnya,
batu permata yang digunakan adalah bukan dari jenis batu tetapi dari jenis teras kayu yang
sukar diperolehi seperti kayu kemuning hitam, teras kekabu, teras salak dan sebagainya.

ULASAN DARI BUKU

Pengarang telah memasukkan beberapa pecahan perkara yang secara umumnya


membincangkan tentang seni pertukangan cincin dan juga perkembangannya. Pengarang juga
tidak menumpukan seratus peratus pada seni pertukangan semata-semata, malah beliau turut
mendedahkan sejarah kewujudannya, perkembangan, motif, teknik pembuatan dan akhir
sekali fungsinya. Pengarang mendedahkan secara keseluruhan tentang seni pertukangan
cincin kepada para pembaca supaya dapat memahami konteks serta konsep yang lengkap,
padat serta cukup untuk membuatkan pembaca-pembaca lebih mudah memahami
keseluruhannya. Pengarang lebih memberi tumpuan kepada seni pertukangan tradisional
berbanding moden dalam usaha mengekalkan seni warisan itu sendiri.

Pertama sekali pengarang telah mendedahkan sejarah kewujudan cincin itu sendiri.
Apa yang boleh disimpulkan disini ialah penggunaan barang perhiasan oleh masyarakat
Melayu sudah bertapak lama lagi sejak pada abad ke-7. Bagaimanapun ia masih tidak
diketahui adakah cincin tersebut buatan tempatan atau di import dari luar, siapakah individu
yang memakainya, lelaki atau pun wanita, golongan masyarakat biasa atau kaum kerabat
istana, objek dagangan atau ritual. Namun semua persoalaan ini sudah terjawab satu demi
satu mengikut pemahaman pembacaan masing-masing. Tetapi pengarang telah
mengfokuskan beberapa bukti dan fakta tentang kewujudan dan golongan pemakainya
dengan ringkas. Tidak dapat dinafikan pada awalnya pengunaan cincin emas hanya untuk
kaum kerabat diraja lazimnya disebabkan nilai emas dan estetikanya yang tersendiri cukup
melambangkan siapa golongan yang layak memakainya. Namun, perkembangan dan
perubahan telah berlaku dimana golongan rakyat biasa juga mampu dan boleh turut sama
untuk menggunakannya. Ditambah lagi dengan kedatangan islam yang menggariskan cara
dan etika penggunaan cincin emas telah menyebabkan berlakunya evolusi dengan ketara
sekali. Golongan lelaki dilarang sama sekali memakai emas. Justeru itu, wujud satu
pemikiran yang kreatif dan inovatif sehingga terwujudnya logam suasa hasil campuran emas,
perak berwarna putih dan tembaga bewarna kuning dengan kadar yang tertentu. Hasilnya,
kaum lelaki juga turut boleh menggunakan cincin seperti kaum wanita yang lain.

6
HNS 3023 D20151071789

Seterusnya, pengarang telah menjelaskan tentang teknik pertukangan. Pembaca sudah


didedahkan dengan dua kaedah yang digunakan iaitu tradisional dan moden. Kedua-duanya
mempunyai kelebihan yang tersendiri. Apa yang dapat dirumuskan ialah, kedua-dua kaedah
ini telah diadaptasi oleh tukang cincin dimana mereka telah menggunakan keduanya sekali
dalam pembuatan cincin. Mereka menggunakan kaedah moden dalam membuat acuan,
melebur dan ukiran manakala ikatan cincin menggunakan kaedah tradisional. Salah satu
sebab mengapa pembuatan cincin menggabungkan kedua-dua kaedah ini ialah dapat
menjimatkan masa, kos, dan kemasan yang lebih sempurna. Seterusnya dapat menghasilkan
sebentuk cincin yang sangat cantik dari segi kemasan juga ikatan cincin yang menepati
citarasa masyarakat Melayu kini. Persoalannya, adakah kaedah tradisional mampu
dipertahanakan, dan warisan seninya dapat diteruskan lagi.

Penulis juga telah menyelitkan beberapa maklumat tentang struktur cincin dan
kemasan bagi mengelakkan pembaca keliru dengan kemasan yang umum yang dilakukan
selepas proses melebur. Struktur cincin terdiri daripada badan cincin dan batu permata.
Bahagian cincin pula terbahagi kepada baloh dan longkang. Kemasan bagi kedua bahagian
ini adalah canai, proses ini akan memastikan tiada sebarang kecederaan jari si pemakai dan
juga bahagian lain. Akhir sekali, pengarang juga tidak mengetepikan fungsi cincin itu sendiri
kerana tidak semua masyarakat tahu tentang fungsi sebenar cincin. Pemahaman masyarakat
kini, cincin hanya digunakan untuk adat perkahwinan, alat perhiasan dan juga hadiah. Fungsi
cincin sebenar bukanlah hanya itu semata-mata, cincin boleh dijadikan alat senjata untuk
melindungi diri atau seseorang. Secara logik akalnya, batu permata yang ada pada cincin
sememangnya mempunyai sifat fizikal yang keras. Bayangkan sekiranya si pengguna
menumbuk mana-mana bahagian muka seperti hidung ataupun mata, sudah tentu boleh
menyebabkan kecederaan yang amat serius. Selain itu,cincin juga dijadikan barang cagaran
kerana nilai cincin yang begitu tinggi di pasaran. Jadi tidak mustahil sekiranya masyarakat
Melayu dahulu melangsaikan hutang mereka dengan memajak cincin di pajak gadai bagi
melangsaikan hutang mereka. Masyarakat Melayu juga menggunakan cincin sebagai
penunduk. Ini bukan sekadar khabar angin sahaja, tetapi realitinya masyarakat dahulu banyak
yang mengamalkan ilmu kebatinan. Kita renung kembali jenis teras kayu yang digunakan,
salah satu contoh teras kekabu yang amat sukar ditemui kerana faktor spesisnya yang agak
sedikit. Kadang kala ia menjadi suatu kepercayaan si pemakai, akan terlindung dari gangguan
anasir halus. Contohnya, seperti caping, azimat dan cincin yang diikat dengan batu tertentu
dan sekiranya dipakai akan memberi keuntungan keatas diri, perniagaan atau pekerjaan.

7
HNS 3023 D20151071789

Walau bagaimanapun warisan seni pertukangan cincin tradisional masyarakat Melayu kini
berada dalam keadaan dilema. Sejauh mana seni warisan tradisional ini dapat dipertahankan,
hanya masa yang akan menetukan. Namun mampukah seni ini dikekalkan selaras dengan
peredaran masa. Pada pendapat pengkaji, seni pertukangan cincin perlu digabungkan antara
tradisional dan moden supaya dapat menghasilkan satu kombinasi yang baru dan menepati
citarasa masyarakat hari ini. Tidak salah rasanya sekiranya menggunakan kaedah yang baru
tetapi masih mengekalkan teknik yang sama dalam menghasilkan cincin. Antara sebabnya
ialah supaya mampu bersaing dengan penukang dari Indonesia. Tidak dapat dinafikan seni
pertukangan cincin tempatan sedang menghadapi saingan hebat dari negara jiran termasuk
Thailand. Sungguhpun gaya atau corak mereka berbeza dengan seni tempatan, namun
disebabkan gabungan idea yang baru tapi masih mengekalkan ciri-ciri tradisonal telah berjaya
menarik minat ramai masyarakat. Selain itu, faktor harga yang agak murah dan sesuai dengan
kualiti cincin itu sendiri. Ini adalah salah satu kaedah penjimatan yang dapat dihasilkan
melalui kaedah moden. Justeru itu, adalah lebih baik sekiranya satu perubahan baharu dapat
dilakukan dalam usaha mengekalkan seni pertukangan cincin dan warisannya.

8
HNS 3023 D20151071789

KESIMPULAN

Kesimpulannya, hasil daripada pembacaan buku ini apa yang dapat


disimpulkan ialah banyak ilmu pengetahuan khususnya seni pertukangan cincin yang lapuk
dek ditelan zaman dapat diketahui oleh pembaca. Walaupun kaedah moden sudah mula
bertapak namun jangan sesekali melupakan kaedah tradisional yang sepatutnya dikekalkan.
Tidak dapat dinafikan bahawa seni pertukangan cincin semakin dilupai oleh masyarakat dan
juga generasi baru. Oleh itu, generasi muda sebagai generasi penerus pula perlu lebih
disedarkan bahawa mereka sebenarnya perlu memahami dan mempelajari seni pertukangan
cincin yang sememangnya sangat bernilai. Generasi muda sangat digalakkan menceburi
bidang seni warisan ini kerana mereka sangat kreatif dan juga inovatif dan sememangnya
mampu memartabatkan seni pertukangan cincin sehingga mampu bersaing dengan negara-
negara jiran pada masa akan datang. Naluri manusia sentiasa ingin dipandang cantik dan
menarik. Justeru itu mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk memenuhi tuntutan
tersebut dengan menggunakan objek tertentu untuk menghias diri. Alat perhiasan diri sejak
dari Zaman Prasejarah hingga kini sentiasa berubah dan berkembang sejajar dengan
kemajuan manusia. Dari penggunaan alat batu, ia berkembang kepada objek logam
sehinggalah munculnya penggunaan emas sebagai alat perhiasan diri yang paling diminati.
Seni pertukangan cincin emas juga merupakan warisan masyarakat Melayu sejak berzaman.
Ketinggian nilai seni dan estetikanya menyebabkan ia sentiasa diminati oleh semua golongan
terutama kaum wanita. Penggunaan cincin emas adalah lambang kemewahan status
pencapaian diri seseorang yang menyebabkan ia terus dipandang tinggi hingga kini.
Persoalannya, siapakah yang sepatutnya meneruskan seni pertukangan ini, memajukan lagi
teknik pembuatan cincin ini, jikalau bukan generasi muda. Namun apa yang dapat dilihat,
generasi muda kurang menggemari seni warisan ini dan tidak mustahil ia akan menyebabkan
ilmu tersebut mati disitu sahaja. Pihak atau badan tertentu perlulah turut sama dalam
memartabatkan dan mempertahankan seni pertukangan cincin ini. Generasi muda pada hari
ini lebih cenderung kepada bidang-bidang seperti kemahiran, ditambah pula banyak peluang
pekerjaan baru dan professional yang wujud pada hari ini menyebabkan seni pertukangan
cincin menjadi kerja sampingan sahaja. Hal ini amat membimbangkan kerana satu daripada
seni warisan Melayu bakal pudar dan hilang ditelan zaman. Sejauh mana seni warisan
tradisional ini dapat bertahan, hanya masa yang akan menentukan.

9
HNS 3023 D20151071789

10

Potrebbero piacerti anche