Sei sulla pagina 1di 3

SEJARAH MAKTAB SULTAN ABU BAKAR (ENGLISH COLLEGE)

English College ditubuhkan pada 21hb. Mac. 1914 apabila dua puluh satu orang pelajar yang terpilih daripada Sekolah Bukit Zahrah dihantar ke istana di Jalan Sungai Chat untuk melanjutkan pelajaran dibawah penyeliaan dua orang guru berbangsa Eropah iaitu En. Morrison and En. Holman . Berdasarkan cadangan Encik H.R Cheeseman , penyusunan semula yang lebih teratur terhadap sekolah ini telah dibuat pada 1 Mei 1928 apabila Sekolah Bukit Zahrah telah dibahagikan kepada tiga unit yang berasingan iaitu Sekolah Rendah Ngee Heng, Sekolah Bukit Zahrah dan English College English College telah berpindah ke tapak bangunan yang ada sekarang pada akhir tahun 1930, tetapi telah dibuka secara rasmi pada tahun 1931. Zaman pendudukan Jepun daripada 1941 sehingga 1945 merupakan zaman gelap bagi English college. Bangunannya telah dicat dengan warna hitam dan dijadikan sebagai kilang. Selepas Jepun menyerah kalah bangunannya digunakan untuk sementara waktu sebagai hospital tentera bagi merawat bekasbekas tawanan perang Jepun. English College telah dibuka semula pada Januari 1946 tetapi pelajar-pelajarnya ditempatkan sementara waktu di sekolah Bukit Zahrah sehingga akhir penggal pertama persekolahan. Dekad 1950an menyaksikan kunjungan beberapa orang pembesar negara ke English College. Dewan sekolah yang dikenali sebagai Dewan Seri Budiman telah dirasmikan pada 17 Julai 1955 dan diikuti dengan tiga buah makmal sains baru oleh Duli Yang maha Mulia Sultanah Aminah pada 11 Oktober 1956. Pada 20 Julai 1957 Tun Abdul Razak Bin Hussein selaku Menteri Pelajaran ketika itu telah mengadakan lawatan ke English College dan pada tahun 1958 pula , Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agong telah berangkat mencemar duli ke English College.

Pada tahun 1960, secara rasminya nama English College telah ditukarkan menjadi Maktab Sultan Abu Bakar sebagai tanda penghormatan kepada Bapa Johor Moden iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar Ibni Almarhun Temenggong Ibrahim.. Bangunan Blok E yang mengandungi makmal sains, kantin dan perpustakaan telah dirasmikan oleh Encik Mohd Khir Johari selaku Menteri Pelajaran pada tahun 1966. Pada tahun 1967, buat kali pertamanya, English college menerima kemasukan pelajar cacat penglihatan yang akan belajar bersama-sama pelajar yang normal..Mereka mendapat bimbingan 2 orang guru pendidikan khas yang dihantar ke English College.Sementara itu lagu Maktab telah dinyanyikan buat kali pertamanya semasa Hari Ucapan pada 21 Mei 1969. Lagu ini telah dicipta oleh Encik Lim Tech Siang dan liriknya ditulis oleh Encik Yusof Bin Karto. Maktab meraikan Ulangtahun Jubilee Intan pada 16 Ogos 1974 .Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Hussien Onn yang juga merupakan bekas penuntut English College telah hadir sebagai tetamu kehormat. Pada 10 Mei 1983 Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Syah Ibni Almarhum Sultan Ismail telah berangkat mencemar duli melawat English College dan berkenan menyumbangkan 10 buah lunsur layar. Pada 20 Julai 1984, Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Mulia Tengku Ibrahim Ismail telah berkenan merasmikan Hari Ucapan Maktab dan sekali lagi baginda menjadi tetamu kehormat pada 22 Julai 1987. Pada tahun 1986 pula Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang juga merupakan bekas Kapten Maktab pada tahun 1954 telah melakukan lawatan ke English College.

Sekitar tahun 1990an Maktab Sultan Abu Bakar merupakan satu-satunya sekolah di Negeri Johor yang telah digazetkan sebagai Sekolah Perdana oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berdasarkan nilai-nilai sejarah , kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum serta kemudahan pendidikan yang sedia ada. Pada tahun 1993 Menteri Besar Johor Tan Sri Muhyidin Yassin telah melawat Maktab bagi merasmikan upacara perasmian penutup projek walkalton . Pada tahun 1997 pula, Yang Behormat Datuk Abdul Ghani Bin Othman (Menteri Besar Johor) telah melawat Maktab bagi merasmikan Majlis Penutup Jogathon dan beliau sekali lagi melawat maktab pada 1999 sempena Hari Anugerah Cemerlang yang dianjurkan oleh pihak sekolah bersama PIBG. Pihak Maktab juga telah mewujudkan sebuah Muzium Mini Tun Hussein Onn bagi menempatkan berbagai khazanah dan warisan sejarah Maktab. Muzium ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hishamudin Bin Tun Hussein pada Julai 1998. Pada penghujung tahun 1999 Maktab memperolehi peruntukan sebanyak 2.05 juta ringgit bagi membina bangunan tambahan serta membaik pulih Dewan Seri Budiman, Asrama Maktab serta bangunan pentadbiran sekolah. Pada 30 Jun 2001 Maktab telah menerima kunjungan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Rafie Bin Mahat yang merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Maktab. Sementara itu pada 27 Oktober 2001 pula Pusat Snuker dan Billiard Maktab telah dirasmikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Encik Abdul Razak Bin Hassan.

Potrebbero piacerti anche