Sei sulla pagina 1di 2

Tajuk : MUHIBAH DAN PERPADUAN

Sekolah :SJK(T) Mentakab

Nama Penyampai: Nivethavani

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang bijaksana, guru-guru besar,
guru-guru dan para hadirin yang dihormati sekalian. Salam perpaduan dan salam Satu
Malaysia saya ucapkan.

“Muhibah dan Perpaduan” begitulah tersusun kata tajuk bicara saya pada pagi yang
mulia ini. Menurut Kamus Dewan, muhibah bererti percintaan, perasaan persahabatan
dan kemesraan. Manakala perpaduan pula membawa maksud kerjasama dan
persefahaman. Dengan kata lain, tajuk syarahan ini boleh diertikan sebagai semangat
kerjasama, saling bantu-membantu tanpa mengira bangsa, agama dan kebudayaan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Umum mengetahui, cabaran pertama Wawasan 2020 ialah mewujudkan rakyat


Malaysia yang bersatu padu serta mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Ini
jelas membuktikan bahawa perpaduan merupakan unsur terpenting dalam usaha
kerajaan memajukan negara. Manakala, gagasan Satu Malaysia pula merupakan
penerus penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini. Gagasan ini
mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin bagi mewujudkan suasana negara
yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Perpaduan adalah senjata yang paling
ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan.

Para hadirin,

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Malaysia telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru
pada tahun 1970, di mana objektif dan strategi yang telah dilaksanakan adalah untuk
mencapai perpaduan di kalangan rakyat Malaysia ke arah pembangunan negara.
Antara langkah-langkah yang telah diambil ialah menyusun semula masyarakat dari
segi politik, ekonomi dan sosial serta mengadakan peraturan dan undang-undang untuk
memelihara keharmonian antara kaum. Kempen-kempen untuk mengukuhkan
perpaduan kaum dipergiatkan lagi. Kerajaan telah menzahirkannya dengan
menggalakkan sambutan perayaan seperti Rumah Terbuka Aidilfitri, Tahun Baru Cina,
Deepavali dan Krismas secara besar-besaran untuk mewujudkan semangat muhibah
dan perpaduan.
Para hadirin yang dihormati,

Sering kali kita lihat peristiwa-peristiwa seperti peperangan, rusuhan dan pembunuhan
menghiasi dada akhbar-akhbar. Ini jelas menunjukkan tiada perasaan kerjasama dan
toleransi di antara satu sama lain. Peristiwa 13 Mei, seharusnya kita jadikan iktibar.
Mempertahankan negara dari musuh dan ancaman luar adalah tanggungjawab kita
bersama. Kita perlu sedar dan sentiasa berpegang kepada nilai-nilai patriotik seperti
kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan,dan cintakan bangsa dan negara.
Setiap rakyat harus menyemai roh perpaduan sejak kecil lagi. Bak kata pepatah
“Melentur buluh, biar dari rebungnya”. Oleh itu, ibu bapa berperanan penting di samping
institusi pendidikan negara. Bermula dengan Laporan Razak, diikuti dengan Penyata
Rahman Talib, kini termaktubnya Akta dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ,
pelaksanaanya berteraskan perpaduan rakyat.

Hadirin yang budiman,

Tajuk telah saya bentangkan, isi telah saya kupaskan dan saya pasti, hadirin sekalian
bersetuju jika saya katakan nilai muhibah dan perpaduan menjadi tunjang keamanan,
kemakmuran dan pembangunan negara. Jatuh bangunnya negara kita adalah di tangan
kita. Justeru itu, kita sebagai generasi dan pewaris bangsa Malaysia perlu mengekalkan
dan memantapkan perpaduan yang sedia terjalin demi menjamin keunggulan bangsa
kita iaitu bangsa Malaysia. Sebelum mengundurkan diri, saya ingin memetik untaian
kata perdana menteri kita iaitu "Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa
Malaysia yang merentasi tembok dan kepompong etnik". Saya percaya muhibah dan
perpaduan mampu meruntuhkan tembok perkauman ini.

Sekian, terima kasih.

Potrebbero piacerti anche