Sei sulla pagina 1di 20

1.

0 PENGENALAN

Tingkah laku ialah semua tindakan fizikal dan mental yang dilakukan oleh manusia. Tingkah
laku merupakan apa juga yang dilakukan sama ada baik atau sebaliknya, betul atau salah,
berguna atau tidak, produktif atau membazir. Behavior atau tingkah laku adalah boleh diukur
dan mengikut norma-norma masyarakat sama ada ia boleh diterima dalam masyarakat atau
sebaliknya. Ia juga merupakan aktiviti atau tindak balas atau apa sahaja yang dilakukan.
Menurut Crealock & Bachor (1995) disiplin bilik darjah memerlukan pemerhatian yang
berterusan daripada guru. Namun demikian, guru perlu menumpukan lebih perhatian kepada
pelajar yang cuba mengelak daripada menyelesaikan tugas yang berbentuk akademik dan
tingkah laku yang mengganggu proses pembelajaran dan pengajaran. Tingkah laku
bermasalah pula dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang dimanifestasikan secara
konsisten dalam satu jangka masa lama yang akan memberi kesan buruk dalam
perkembangan pembelajaran murid dan seterusnya menghalang mereka terlibat secara aktif di
dalam atau di luar bilik darjah.

2.0 TEORI TINGKAH LAKU

Teori merupakan suatu prinsip yang menjadi asas kepada pembentukan sesuatu ilmu
pengetahuan. Selain itu, teori juga adalah satu rumusan daripada pengetahuan sedia ada yang
memberi panduan untuk menjalankan penyelidikan dan mendapatkan maklumat baru.
Terdapat beberapa teori yang ada pada masa ini dan teori-teori tersebut diklasifikasikan
kepada empat mazhab utama iaitu behavioris, kognitif, sosial, dan humanis.

2.1 Teori Behavioris

Teori ini telah diperkenalkan oleh Ivan Pavlov dan kemudiannya telah dikembangkan oleh
orndike dan Skinner. Mereka berpendapat bahawa pembelajaran berkaitan dengan perubahan
tingkah laku. Kebanyakan teori ini dihasilkan daripada ujian dan pemerhatian yang dijalankan
keatas haiwan seperti anjing, tikus, kucing, dan burung di dalam makmal. Mereka telah
mengkaji perhubungan antara rangsangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan
tingkah laku. Secara umumnya, teori ini menyatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran
akan mempengaruhi segala perbuatan atau tingkah laku pelajar sama ada menjadi tingkah
laku positif atau sebaliknya. Tambahan lagi, teori ini turut menyatakan bahawa tingkah laku
pelajar boleh diperhati, dikawal, dan diramal.
1
2.2 Teori Kognitif

Teori ini telah diperkenalkan oleh Bruner dan Jean Piaget yang menyatakan bahawa
pembelajaran ialah suatu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran, dan tidak dapat
diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku. Mereka telah menumpukan kajian kepada
pelbagai jenis pembelajaran dalam proses penyelesaian masalah dan celik akal mengikut
peringkat umur dan kebolehan pelajar tersebut. Teori ini juga turut bertumpu kepada cara
pembelajaran seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan, dan
pengkategorian. Menurut teori ini lagi, manusia memiliki struktur kognitif dan otak akan
bertindak menyusun segala maklumat dalam ingatan semasa proses pembelajaran.

2.3 Teori Sosial

Teori ini turut dikenali sebagai Teori Perlakuan Model yang menyarankan supaya teori
pembelajaran dijalankan dengan menggabungkan teori behavioris dan teori kognitif. Tokoh
teori ini iaitu Albert Bandura menyatakan bahawa proses pembelajaran akan dapat
dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan menggunakan pendekatan ‘permodelan’. Beliau
turut menjelaskan lagi bahawa aspek pemerhatian pelajar terhadap perkara yang disampaikan
atau dilakukan oleh guru dan juga aspek peniruan oleh pelajar akan dapat memberi kesan
yang optimum kepada kefahaman pelajar.

3.0 TINGKAH LAKU BERMASALAH

Menurut Atkinson (1990), tingkah laku bermasalah merupakan tingkah laku yang terkeluar
daripada kehendak, norma-norma dan nilai sesuatu masyarakat. Tingkah laku bermasalah
boleh berbentuk positif dan juga negatif. Antara contoh tingkah laku bermasalah positif ialah
sifat ingin tahu, cepat belajar, pintar cerdas, dan proaktif. Manakala tingkah laku bermasalah
negatif merujuk kepada distruktif, disruptif, bergantung, hiperaktif, bimbang, murung,
pengunduran diri dan pengasingan.

3.1 Tingkah laku positif

2
Tingkah laku bermasalah positif iaitu sifat ingin tahu ada pada setiap individu. Pada peringkat
awal kanak-kanak akan bergerak menuju ke bungkusan yang terletak di atas meja dan dia
akan mengoyakkan pembalut bungkusan itu untuk melihat objek yang terdapat di dalam
bungkusan tersebut. Perbuatan ini menyebabkan pelajar bertindak dengan cepat tanpa
menerima arahan guru. Tingkah laku seperti ini boleh menimbulkan situasi berbahaya
terutamanya di dalam makmal.

Pelajar dalam kategori cepat belajar juga tergolong dalam tingkah laku bermasalah
positif dan pelajar jenis ini biasanya dapat memahami sesuatu konsep dengan cepat. Oleh itu,
jika guru mengulangi penerangannya, pelajar yang cepat belajar ini akan berasa bosan dan
tidak akan memberi perhatian lagi. Hal ini menyebabkan mereka menimbulkan pelbagai jenis
gangguan seperti mengusik rakan dan secara tidak langsung menjejaskan proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas.

Selain itu, pelajar yang pintar cerdas turut dikategorikan sebagai tingkah laku
bermasalah positif. Pelajar dalam kategori ini mempunyai kebolehan atau potensi dalam
aktiviti intelek seperti pemikiran abstrak, pemikiran logik, kemahiran lisan dan mempunyai
daya reka cipta yang tinggi. Daya ingatan mereka juga amat kuat dan mereka mempunyai
banyak kelebihan terutama dalam bidang matematik, penulisan, seni lukis, muzik, dan
hubungan manusia. Mereka cepat mencapai pemahaman terhadap pelbagai konsep yang
disampaikan. Mereka juga akan cepat berasa jemu jika kaedah pengajaran guru tidak menarik
dan lambat dan rasa jemu tersebut akan menyebabkan mereka menimbulkan pelbagai masalah
di dalam kelas. Hal ini secara tidak langsung akan mengganggu proses pembelajaran pelajar
lain.

Pelajar yang proaktif juga merupakan salah satu tingkah laku bermasalah positif. Hal
ini kerana mereka sentiasa aktif dan bertindak dengan penuh semangat. Mereka jarang
menunggu arahan untuk melakukan sebarang tindakan. Sebagai contoh, mereka akan
melakukan sesuatu eksperimen dengan serta merta selepas ditunjukkan oleh guru. Hal ini
boleh menimbulkan kemalangan kerana melakukan sesuatu tindakan tanpa arahan yang jelas
daripada guru.

3.2 Tingkah laku negatif

3
Salah satu tingkah laku bermasalah negatif ialah tingkah laku distruktif dan menurut Mok
Soon Sang (2003), tingkah laku distruktif merupakan tingkah laku anti sosial yang amat
berbahaya kerana pelaku bukan sahaja melakukan aktiviti jenayah tetapi juga mengancam
keselamatan orang lain. Sikap mereka yang agresif sering ditonjolkan dalam bentuk tingkah
laku seperti vandalisme iaitu perbuatan merosakkan sama ada melalui sindiran atau melalui
perbuatan fizikal seperti tumbuk menumbuk, bergaduh, melukai atau menyakiti orang lain.
Tiwi Kamidin (2004) memberi pendapat bahawa tingkah laku ini sering berlaku dalam
kalangan murid yang berusia 10 hingga 15 tahun. Keadaan ini amat berbahaya kerana hal ini
akan menyebabkan kes gengsterisme seperti kejadian pukul bukan sahaja di dalam kawasan
sekolah, tetapi juga di luar kawasan sekolah.

Menurut Kerr & Nelson (1998) dalam Nora Mislan (2007) menyatakan bahawa
perlakuan disruptif adalah perlakuan yang mengganggu proses pembelajaran yang sedang
berlangsung di dalam bilik darjah. Jenis-jenis tingkah laku disruptif termasuklah tingkah laku
hiperaktif, perubahan yang melampau, kebisingan, pergerakan pelajar yang tidak perlu,
mengganggu rakan, gelak ketawa dengan kuat dan berkelakuan agresif seperti tolak menolak
atau tumbuk menumbuk di dalam kelas.

Tiwi Kamidin (2004) menjelaskan bahawa individu yang mempunyai tingkah laku
disruptif akan sentiasa mengganggu dan menjejaskan kelicinan proses pengajaran dan
pembelajaran. Tingkah laku mengganggu ini bukan sahaja berlaku di dalam bilik darjah tetapi
juga di luar bilik darjah sama ada terhadap adik beradik atau rakan sebaya. Jika tidak dikawal,
tidak mustahil tingkah laku tersebut membawa kepada tingkah laku distruktif.

Antara cabaran utama bagi guru-guru ialah terdapat murid yang mempunyai tahap
pembelajaran yang lemah dan sering tidak membawa buku. Omardin Ashaari (1999)
menyatakan bahawa murid yang lemah dalam pelajaran mempunyai hubung kait dengan
minat, sikap, kaedah mengajar, kesihatan dan kelemahan pemikiran serta kesukaran murid
mengikuti pelajaran guru. Oleh itu, guru hendaklah mengenal pasti murid yang mempunyai
masalah tersebut dan bijak merancang serta mengambil kaedah dan strategi yang sesuai agar
dalam masa yang sama tidak menjejaskan pembelajaran murid-murid yang sudah cekap dalam
pelajaran.

Di samping itu, guru perlu memberi galakan dan rangsangan sama ada secara langsung
atau tidak langsung kepada murid yang lemah sebagai motivasi agar mereka sedar dan
berusaha meningkatkan tahap pembelajaran mereka. Selain itu, guru juga boleh mengadakan
4
kelas pemulihan untuk memberi perhatian khusus kepada murid yang bermasalah agar tidak
lagi tercicir.

Tingkah laku bergantung pula merupakan satu keadaan seseorang itu terlalu
bergantung kepada orang lain, sama ada guru atau rakannya untuk menjalankan sesuatu
tugasan atau membuat keputusan. Individu yang tergolong dalam kumpulan ini termasuklah
mereka yang menunjukkan sifat pergantungan berlebihan, kebimbangan dan pengunduran
diri. Tingkah laku bermasalah ini biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur
sepuluh tahun kebawah, namun ada yang berlarutan hingga ke remaja. Mereka mudah berasa
cemas, takut, bimbang, tertekan, dan tidak tahu apa yang dilakukannya jika tidak berada di
samping orang yang diharapkan.

Antara simptom-simptom yang ditunjukkan oleh murid yang mempunyai tingkah laku
masalah bergantung adalah sukar membuat keputusan tanpa mendapatkan nasihat orang lain,
memerlukan orang lain untuk bertanggungjawab ke atas kebanyakan perkara dalam
kehidupan, serta tidak berani untuk mengambil langkah yang berlebihan. Murid yang
mempunyai tingkah laku masalah bergantung biasanya mudah dipengaruhi oleh orang lain
menyebabkan mereka kurang sering diejek.

Selain itu, hiperaktif pula merujuk kepada keadaan seseorang individu yang terlampau
aktif berbanding keadaan biasa. Ciri-ciri pelajar hiperaktif ialah tidak boleh duduk diam,
selalu gelisah, suka merungut, kelakuan sukar diramal, mudah melenting dan tindak balas
berlebihan. Hiperaktif berpunca daripada kecederaan otak, pemakanan, dan baka. Kesan
hiperaktif pula ialah kendiri yang rendah, tidak dapat belajar secara optimum, sosial yang
rendah, kesabaran yang rendah dan selalu keseorangan.

Tingkah laku bimbang juga merupakan salah satu tingkah laku bermasalah negatif dan
kebimbangan dapat didefinisikan sebagai suatu perasaan kurang senang disebabkan oleh
kepercayaan bahawa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Perasaan ini berkait rapat
dengan emosi ketakutan. Tingkah laku murung pula merujuk kepada satu keadaan yang amat
sedih. Keadaan itu boleh dialami oleh sesiapa sahaja. Pelajar yang mengalami kemurungan
tidak berupaya berfungsi dengan di dalam bilik darjah dan sentiasa termenung dan berkhayal.

Selain itu, pengunduran diri juga dapat didefinisikan sebagai penarikan diri daripada
suatu situasi yang kurang selamat atau mengancam. Kadangkala, pengunduran diri juga
dilakukan untuk berfikir dan mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Sebagai

5
contoh, pengunduran diri adalah nyata apabila seseorang pelajar tidak berupaya menjawab
soalan guru. Selain itu, pelajar-pelajar yang tidak mempunyai kemahiran dalam sebarang jenis
permainan biasanya akan mengundur diri apabila guru memilih pemain bagi suatu permainan.

Secara umumnya, sikap degil dan tidak menghiraukan arahan guru dalam kalangan
murid sering kali dilihat dalam senario bilik darjah walaupun tidak semua murid bersikap
demikian. Menurut Omardin Ashaari (1999), golongan murid yang bersikap degil ini gemar
menentang guru untuk menjaga kepentingan diri sendiri. Mereka mengamalkan nilai yang
bertentangan dengan norma masyarakat dan jika perkara ini tidak dikawal, mereka akan
mempengaruhi rakan-rakan yang lain.

Tingkah laku bermasalah negatif yang terakhir ialah pengasingan diri. Amalan
pengasingan diri ini dilakukan disebabkan oleh personaliti pelajar yang tidak gemar
bercampur gaul dengan rakan-rakan lain. Pelajar seperti ini juga didapati mempunyai harga
diri yang rendah yang akan mengakibatkan masalah-masalah lain yang mana pelajar
berkenaan akan cenderung menunjukkan tingkah laku antisosial bagi tujuan mendapatkan
perhatian atau layanan guru.

3.3 Jenis-jenis tingkah laku bermasalah

Terdapat tiga jenis tingkah laku yang terdiri daripada tingkah laku minor, tingkah laku major,
dan tingkah laku kronik. Tingkah laku minor merupakan tingkah laku yang tidak memerlukan
guru untuk mengambil tindakan disiplin atau pemulihan yang serius. Tingkah laku major pula
merupakan rentetan daripada tingkah laku minor yang bertambah dari segi kekerapan dan
jumlahnya hingga mengganggu pembelajaran murid-murid lain, manakala tingkah laku kronik
pula merupakan tingkah laku yang amat teruk dan memerlukan kaunseling serta penggunaan
modifikasi tingkah laku. Antara masalah yang dihadapi oleh guru dalam bilik darjah ialah
murid bercakap pada masa yang tidak sesuai, murid tidak menyiapkan kerja rumah, murid
bertengkar, dan murid yang gemar mencuri dan merampas barang orang lain.

Masalah yang sering berlaku iaitu murid yang gemar bercakap pada masa yang tidak
sesuai ini merupakan perkara biasa dan sering didapati dimana saja sekolah tidak kira pelajar
di tahap satu mahupun di tahap dua. Murid akan bercakap sesama sendiri ketika guru sedang
mengajar, semasa melakukan gerak kerja kumpulan ataupun ketika sedang membuat kerja
bagi menghilangkan kebosanan.

6
Selain itu, masalah lain yang perlu dihadapi oleh guru ialah murid yang tidak
menyiapkan kerja rumah. Masalah ini sudah menjadi lumrah dalam sistem pendidikan di
negara kita. Pelbagai pihak telah memperkatakan hal ini dan banyak saranan dan cadangan
telah dikemukakan untuk mengatasinya. Kerja rumah adalah latihan pengukuhan yang penting
dan wajib untuk dilakukan oleh murid bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan mereka
dalam tajuk yang diajar pada hari tersebut. Murid adakalanya dengan sengaja untuk tidak
menyiapkan kerja tanpa rasa bersalah. Mereka hanya memilih kerja rumah yang diberikan
oleh guru yang tertentu sahaja untuk menyiapkan kerja. Ada sesetegahnya pula hanya
membuatnya secara sambil lewa sekadar melepas batuk di tangga.

Kerja rumah ini jika tidak disiapkan semakin bertambah, dengan sendirinya beban
murid semakin banyak, lama-kelamaan murid akan ketinggalan dalam pelajaran. Guru juga
tidak dapat mengukur tahap pencapaian murid tersebut dan seterusnya boleh
menyebabkannya tercicir daripada rakan lain. Antara faktor masalah ini ialah faktor keluarga.
Kerja rumah adalah kerja yang harus disiapkan di rumah. Ibu bapa adalah guru di rumah yang
akan memastikan anak-anak mereka menyiapkan kerja rumah mereka sebelum mereka
kembali ke sekolah pada keesokan hari. Ibu bapa yang sentiasa sibuk mengejar kekayaan,
menghadiri majlis dan aktiviti sosial tentunya tidak dapat memberikan tumpuan kepada
anaknya.

Murid yang bertengkar sering menjadi masalah kepada semua guru. Masalah ini sering
berlaku terutamnya semasa ketiadaan guru atau semasa waktu rehat. Murid gemar bertengkar
walaupun berpunca daripada perkara kecil dan remeh. Keinginan untuk mempertahankan hak
dan menunjukkan kekuatan kepada rakan sering menjadi punca berlakunya pertengkaran.
Pertengkaran ini adakalanya boleh mengakibatkan kecederaan dan boleh melarat hingga ke
rumah. Hal ini akan menimbulkan perbalahan antara ibu bapa jika mereka mengikut perasaan
marah tanpa usul periksa. Masalah pertengkaran ini juga boleh menyebabkan wujudnya
kumpulan atau puak dalam kelas atau sekolah. Hal ini jika tidak dibendung dan diatasi akan
menimbulkan masalah yang lebih rumit seperti masalah gengster atau sebagainya.

Masalah yang paling kronik yang sering terjadi di sekolah merupakan kes mencuri dan
merampas barang orang lain. Kes-kes kecurian yang biasa berlaku ialah murid mencuri duit
poket dan alat tulis pelajar lain sama ada sekelas ataupun di kelas lain. Murid yang mencuri
ini biasanya hanya akan mencuri jika ada peluang atas kecuaian orang lain. Mereka yang
terbiasa mencuri akan sentiasa berasa seronok untuk mencuri tanpa memikirkan akibatnya

7
kepada diri mereka dan orang lain. Hal ini akan menimbulkan rasa tidak selamat dan selesa
pelajar lain untuk belajar di dalam kelas tersebut. Jika tabiat ini tidak diatasi mungkin akan
menjadi lebih serius, mereka akan mencuri dimana-mana sahaja dan hal ini akan
menyebabkan masa hadapan mereka gelap.

4.0 PUNCA SALAH LAKU

Tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berpunca daripada faktor-faktor tertentu.
Antara faktor-faktor yang sering dikaitkan dengan masalah tingkah laku kanak-kanak ialah
faktor ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, kurang pendidikan agama, dan pengaruh media
elektronik.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Pendidikan mula
diabaikan dan sering diserahkan kepada guru di sekolah sejak dari tadika hingga ke sekolah
menengah. Hal ini tidak seharusnya terjadi kerana tugas guru hanyalah pada waktu
persekolahan dan waktu selebihnya pula terpulang kepada ibu bapa untuk mendidik anak-
anak. Terdapat segelintir pelajar yang diasuh oleh orang gaji kerana ibu bapa yang sibuk
dengan kerjaya hingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Anak-anak
akhirnya terabai dan tidak tentu hala hingga melakukan salah laku. Ibu bapa yang bersikap
demikian menyebabkan anak mereka bermasalah walaupun perbelanjaan mereka mencukupi
dan segala kemahuan mereka dipenuhi.

Selain itu, terdapat juga ibu bapa yang tidak menunjukkan teladan yang baik kepada
anak-anak. Hal ini menyebabkan anak-anak terikut dengan sikap dan perbuatan ibu bapa
kerana mereka tidak pernah diajar tentang nilai-nilai yang baik dan buruk. Malahan, terdapat
ibu bapa yang tidak mengambil berat akan pencapaian akademik anak dengan meletakkan
tanggungjawab kepada guru semata-mata. Pada masa yang sama juga, ibu bapa yang tidak
sehaluan dengan di rumah juga boleh menyebabkan anak berasa tidak aman semasa berada di
rumah. Hal ini secara tidak langsung akan mempengaruhi tingkah laku anak-anak.

Pengaruh rakan sebaya merupakan pengaruh yang paling bahaya ke atas diri seorang
pelajar terutama dalam proses pembentukan identiti remaja. Rakan sebaya juga turut
menyumbang sama ada ke arah kebaikan mahupun keburukan. Jika baik rakannya, maka baik
jugalah tingkah lakunya. Mengikut satu tinjauan yang dijalankan secara rambang
menunjukkan bahawa kebanyakan salah laku pelajar adalah dilakukan secara berkumpulan.
8
Oleh itu, faktor rakan sebaya secara berkumpulan juga merupakan penyebab utama masalah
tingkah laku pelajar. Secara lumrahnya, mereka jarang melakukan kesalahan secara
bersendirian. Pelajar sering menganggap peraturan atau undang sebagai sesuatu yang remeh
dan tidak perlu dipatuhi. Apabila terbentuknya satu kumpulan yang dianggap kuat, mereka
tidak lagi bimbang dan tidak teragak-agak untuk melakukan salah laku.

Lantaran kesibukan untuk mencapai sasarans sebagai negara maju maka didikan
agama di tolak ke tepi. Orang yang berpendidikan agama digambarkan sebagai orang yang
tidak profesional dan kolot. Tambahan lagi, masyarakat beranggapan bahawa mereka yang
mendapat pendidikan agama akan memperoleh pendapatan yang murah dan jauh lebih rendah
berbanding mereka yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi seperti peguam,
jurutera, dan sebagainya. Jurusan agama hanya layak dilabelkan sebagai imam, bilal, dan
perkara-perkara yang berkaitan dengan akhirat. Hal ini menyebabkan sekolah-sekolah agama
tidak lagi dikunjungi dan iman tidak dapat menyangkal unsur-unsur negatif menyebabkan
pelajar terjerumus ke arah salah laku yang semakin parah dari hari ke hari.

Setiap rumah pada masa ini mempunyai alat media elektronik seperti komputer,
televisyen, dan sebagainya. Pada hakikatnya, alat-alat media elektronik tersebut memberikan
1001 manfaat kepada manusia kerana dapat menyalurkan pelbagai informasi dari dalam dan
luar negara. Namun begitu, kegunaannya telah disalahgunakan oleh pelajar-pelajar yang rata-
rata meminati perisian yang berbentuk budaya kuning dan budaya merah. Budaya kuning
menonjolkan daya tarikan seks yang keterlaluan manakala budaya merah pula cenderung ke
arah keganasan seperti gusti dan sebagainya. Budaya-budaya seperti ini mudah
mempengaruhi minda pelajar-pelajar sekolah yang akhirnya mendorong kepada perlakuan-
perlakuan yang tidak diingini.

5.0 TEKNIK MODIFIKASI TINGKAH LAKU

Modifikasi tingkah laku ialah langkah-langkah yang sistematik berdasarkan prinsip-prinsip


psikologi untuk mengubah tingkah laku yang negatif kepada positif. Terdapat beberapa
langkah yang sistematik untuk menjalankan modifikasi tingkah laku. Antara langkah yang

9
sistematik ialah mengenal pasti tingkah laku negatif yang perlu diubah, menetapkan matlamat
yang ingin dicapai, menentukan strategi untuk bertindak, merancang prosedur atau plan
tindakan yang terbaik, melaksanakan strategi mengikut plan bertindak yang telah ditetapkan,
menilai keberkesanan dan mengubah plan mengikut keperluan, dan memastikan pencapaian
matlamat yang telah ditetapkan.

Tujuan penggunaan modifikasi tingkah laku adalah untuk mengubah tingkah laku
begatif atau salah laku pelajar yang dikesan dalam bilik darjah, kepada tingkah laku positif,
menyelesaikan tingkah laku bermasalah yang berlaku, demi membentuk iklim bilik darjah
yang berdisiplin dan kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Terdapat beberapa
teknik modifikasi yang boleh dijalankan seperti memberi peneguhan, dendaan, riverse
psycology, shaping, kontrak, dan modifikasi melalui proses pembiasaan.

Terdapat dua jenis peneguhan iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif.
Peneguhan positif adalah kebarangkalian berulangnya tingkah laku operan yang diingini (atau
tidak diingini) ditambah. Peneguhan positif digunakan sebagai ganjaran untuk mendorong
murid-murid memberi tumpuan semasa belajar seperti memberi pujian, penghargaan, hadiah,
dan sebagainya. Manakala peneguhan negatif ialah kebarangkalian berulangnya tingkah laku
operan ditambah dengan memindahkan atau menghapuskan stimuli yang mengganggu.
Seperti menghalau seorang murid yang membuat bising dari kelas akan dapat menambahkan
peluang murid-murid lain supaya meneruskan aktiviti pembelajaran mereka tanpa gangguan.

Teknik yang kedua iaitu teknik dendaan merupakan tindakan yang dikenakan
bertujuan untuk menghentikan sesuatu tingkah laku negatif. Ianya menggunakan hukuman
yang memang diketahui oleh murid yang melanggar peraturan dan memastikan hukuman itu
relevan dan berpatutan. Guru juga boleh memberhentikan tingkah laku yang tidak diingini
dengan menukarkan tempat duduk atau berjumpa selepas waktu belajar. Menurut Skinner
denda hanya boleh memberi kesan dalam tempoh yang singkat sahaja. Selepas itu, biasanya
murid akan mengulanginya semula. Sekiranya murid didenda kerana kelemahan dirinya
dalam akademik mungkin akan menyebabkan murid hilang minat terhadap bidang tersebut.

Teknik setrusnya iaitu teknik riverse psycology merupakan teknik psikologi untuk
memodifikasikan tingkah laku negatif kepada positif. Ianya memerlukan guru yang mahir
dalam memahami psikologi murid yang berkenaan serta mengenali sikap, pandangan dan
pemikiran dalamannya. Tujuannya ialah untuk menginsafkan murid sekali gus membuang
tingkah laku negatif dan membentuk tingkah laku yang baik.
10
Teknik lain iaitu shaping merupakan proses pembentukan tingkah laku yang diingini
melalui beberapa peneguhan yang diberi secara beransur-ansur kepada tindak balas yang
diharapkan. Teknik ini perlu digunakan apabila murid itu tidak melakukan tingkah laku yang
diingini dengan sendiri.

Membuat perjanjian secara lisan atau menandatangani kontrak merupakan salah satu
cara yang berkesan untuk memodifikasikan tingkah laku negatif kepada positif. Seperti
membuat kontrak formal dengan guru besar dapat meyakinkan murid bahawa dia akan
dikenakan tindakan yang berat sekiranya melakukan kesalahan sebagaimana perjanjian yang
telah dibuat.

Bagi mengubah tingkah laku yang tidak diingini peneguhan positif hendaklah dibuat
dari semasa ke semasa. Modifikasi tingkah laku ini boleh dilakukan melalui proses
pembiasaan yang disifatkan lebih menyeluruh dari aspek fizikal, emosi, dan sebagainya.
Langkah-langkah untuk melaksanakan modifikasi tingkah laku melalui proses pembiasaan
adalah seperti mengenal pasti tingkah laku bermasalah yang ditonjolkan oleh pelajar dalam
bilik darjah, menetapkan matlamat tahap pencapaian tingkah laku yang dikehendaki, serta
memilih dan melaksanakan strategi dan teknik yang sesuai untuk memodifikasikan tingkah
laku yang dikenal pasti. Peneguhan positif hanya diberi selepas perubahan tingkah laku
negatif kepada positif, mengikut matlamat pencapaian yang ditentukan. Oleh itu, guru
hendaklah menjelaskan hak-hak di dalam bilik darjah dan mengingatkan semula kepada murid
apabila mereka mula menunjukkan tingkah laku yang bermasalah.

6.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI TINGKAH LAKU


BERMASALAH DAN KAITAN DENGAN PENDEKATAN TEORI

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi tingkah laku bermasalah dalam kalangan
murid-murid. Oleh itu, guru memainkan peranan penting untuk mengetahui pendekatan teori
yang berbeza agar dapat memahami faktor tingkah laku bermasalah dalam kalangan pelajar
dan sebab berlakunya perkara tersebut. Penyesuaian langkah intervensi yang wajar boleh
diambil melalui maklumat yang diperoleh. Terdapat beberapa teori yang mempunyai
pendekatan yang sesuai untuk dikaitkan dengan tingkah laku bermasalah seperti Teori Sosial
Albert Bandura, Teori Tingkah Laku Behaviorisme oleh Ivan Petrovich Pavlov, Teori
Humanistik seperti Teori Motivasi Maslow, dan Teori Kognitif.

11
6.1 Faktor Pelajar

Faktor pelajar dilihat sebagai faktor paling utama penyebab tingkah laku bermasalah dan
faktor ini meliputi beberapa aspek yang berkaitan dengan murid itu sendiri seperti latar
belakang murid dan pengaruh keluarga khususnya peranan ibu bapa dalam membentuk diri
murid serta faktor sosio-ekonomi keluarga. Omardin Ashaari (1999) menjelaskan bahawa
keluarga memainkan peranan penting dalam memberi perhatian terhadap pembelajaran murid
kerana mereka mempunyai pengaruh kuat terhadap cara hidup murid. Sebagai tenaga
penggerak dan sumber ilham kepada murid, guru hendaklah memberi galakan dan rangsangan
kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik. Persengketaan yang wujud dalam
sesebuah keluarga akan mempengaruhi fikiran pelajar sekali gus menjadi penyebab masalah
disiplin murid.

Selain itu, masalah tingkah laku pelajar berpunca daripada aspek sosio-ekonomi
keluarga. Hal ini sering berlaku dalam kalangan pelajar yang datang daripada keluarga yang
berstatus sosio-ekonomi rendah. Mereka akan membawa nilai-nilai yang menjadi kebiasaan di
rumah untuk diamalkan di sekolah seperti dalam soal pengurusan masa, pergaulan, dan
sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa kehidupan mereka di rumah menjadi pengaruh
besar kepada faktor tingkah laku mereka di sekolah.

Teori Humanistik menekankan tentang kebolehan dan potensi pelajar dalam mengawal
kehidupan mereka. Teori Motivasi Maslow yang dikembangkan oleh Abraham H. Maslow
melalui Hierarki Keperluan Maslow pula merupakan salah satu Teori Humanistik yang dapat
membantu guru memahami sebab pelajar bertingkah laku sedemikian. Melalui teori ini,
Maslow menegaskan bahawa seseorang individu perlu memenuhi keperluan asas terlebih
dahulu sebelum memenuhi keperluan sekunder.

Menurut Nora Mislan (2007), Abraham Maslow telah membahagikan keperluan


manusia kepada lima peringkat iaitu keperluan fisiologi dan biologi (air, makanan, udara,
tempat tinggal, tidur, dan sebagainya), keperluan keselamatan (dilindungi daripada elemen
ancaman, undang-undang, limitasi, stabiliti dan sebagainya), keperluan dibelai dan disayangi
(kasih sayang dari keluarga, sekolah, rakan-rakan dan sebagainya), keperluan estim
(keperluan estim kendiri, pencapaian, masteri, berdikari dan sebagainya) serta kesedaran
kendiri (kesedaran dalam potensi diri, mengembangkan kebolehan dan mencapai apa yang
diinginkan). Walau bagaimanapun, teori ini menekankan bahawa keperluan asas,
keselamatan, kasih sayang dan penghargaan kendiri manusia perlu dipenuhi terlebih dahulu
12
sebelum seseorang itu dapat menceburkan diri ke dalam hierarki kesempurnaan kendiri,
maklumat dan estetik.

Terdapat segelintir ibu bapa yang tidak pernah mencuba untuk meluangkan masa
bersama anak-anak dan menyelami perasaan mereka tentang kesukaran yang dihadapi semasa
di sekolah. Ibu bapa kurang memberi perhatian terhadap anak-anak dari segi perasaaan dan
bimbingan akademik. Akibatnya, pelajar tidak bersemangat untuk belajar apatah lagi untuk
berlumba-lumba bersama rakan-rakan yang lain mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Teori kognitif menyatakan bahawa manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola,
menyusun dan mengeluarkan semula pengalaman mereka. Teori ini lebih menekankan kepada
penggunaan pemikiran seseorang bertujuan untuk membentuk struktur kognitif dalam ingatan
dan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ingatan.

Menurut Asmah Bee Mohd Noor (1999), ahli teori kognitif percaya bahawa pemikiran
mempengaruhi perasaan dan tingkah laku manusia. Sekiranya individu mengubah cara
mereka berfikir, maka perasaan dan tingkah laku mereka juga turut mengalami perubahan
melalui modifikasi tingkah laku. Oleh itu, teori ini memfokuskan kepada proses di sebalik
tingkah laku yang ditunjukkan. Perubahan tingkah laku yang diperhatikan adalah petunjuk
kepada setiap perkara yang akan berlaku dalam minda pelajar.

Teori ini menerangkan pembelajaran sebagai proses yang melibatkan pemerolehan dan
penyusunan semula struktur kognitif kepada bentuk yang bermakna dan mudah diingat oleh
pelajar (Prof. Aminah Ayob, 2005). Oleh itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian
kepada anak-anak mereka dan bersikap lebih terbuka dengan memberikan peluang kepada
anak-anak untuk menyuarakan pendapat mereka agar anak-anak dapat membentuk peribadi
dan sahsiah yang positif.

6.2 Faktor Guru

Guru merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mengendalikan sesuatu proses


pengajaran dan pembelajaran serta memastikan bahawa proses tersebut berjalan lancar dengan
keadaan kelas yang terkawal. Selain itu, guru hendaklah mempunyai sikap dan sahsiah yang
positif agar mereka dihormati pelajar. Bagi guru yang disanjung oleh pelajar-pelajar, mereka
perlu menguasai dan meningkatkan kemahiran komunikasinya bagi memudahkan pergaulan

13
antara mereka dan pelajar. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan murid akan berasa diri
mereka dikasihi, dihargai, dan dimuliakan (Abdullah Hassan, 1999).

Menurut Abd. Rahim B. Abd. Rashid (1999) menyatakan bahawa punca tingkah laku
bermasalah dalam kalangan pelajar ialah wujudnya proses ‘demoralizing’ pelajar di dalam
kelas. Terdapat amalan yang tidak sihat dan bersifat demoralizing pelajar sama ada secara
sengaja atau tidak sengaja oleh guru dan juga dalam amalan sistem sosial yang tidak sihat di
sekolah. Demoralizing adalah proses yang meruntuhkan moral pelajar sehingga mereka berasa
bahawa diri tidak berguna, tidak dihormati, dan tidak dihargai. Kecaman yang sering
dilemparkan oleh guru terhadap pelajar serta memburuk-burukkan pelajar boleh membunuh
segala motivasi dan harga diri pelajar. Pelajar menjadi benci dan anti sosial kepada sekolah
dan masyarakat.

Omardin Ashaari (1999) menjelaskan bahawa guru yang bersifat autokratik dan
melaksanakan tugas secara kuku besi dan terlalu dominan dalam tindak tanduk mereka ketika
mengawal bilik darjah boleh menyebabkan pelajar tidak bebas dan berfikir. Pelajar perlu
diberi peluang untuk melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan pembelajaran seperti
mengeluarkan pendapat dan saranan agar tidak menjejaskan keupayaan mereka untuk
menerima pelajaran. Guru tidak seharusnya memandang rendah atas kemampuan pelajar
kerana ianya akan menyebabkan pelajar berasa tidak yakin akan diri sendiri sekali gus
menyebabkan motivasi menjadi lumpuh.

Teori tingkah laku behaviorisme yang dipelopori oleh Ivan Pavlov, dan B.F. Skinner
merupakan salah satu teori teori pembelajaran yang mengaitkan pembelajaran dengan
perubahan tingkah laku. Mereka menjalankan kajian ke atas haiwan bagi membuktikan teori
ini dan kemudiannya mengaplikasikannya terhadap tingkah laku manusia yang boleh dilihat
secara luaran. Melalui teori ini, tokoh-tokoh ini berpendapat bahawa tingkah laku adalah hasil
daripada interaksi antara baka dan persekitaran yang boleh diperhatikan, dikawal, serta
diramal melalui penggunaan konsep peneguhan dan jadual peneguhan (Nora Mislan, 2007).
Mereka juga menekankan bahawa perkaitan gerak balas individu dengan rangsangan adalah
sesuatu proses pembelajaran demi membentuk sesuatu tingkah laku yang baru.

Skinner melalui Teori Pelaziman Operan Skinner (1953) telah menekankan tentang
proses pembiasaan dalam membentuk tingkah laku dan mengemukakan beberapa rumusan
tentang pembelajaran manusia. Beliau mengatakan bahawa pembelajaran berlaku melalui
pelaziman dan peneguhan positif merupakan rangsangan yang penting dalam menambahkan
14
kebarangkalian gerak balas pelajar. Oleh itu peneguhan perlu diberi dari semasa ke semasa
untuk mengubah tingkah laku yang tidak diingini.

Selain itu, bahan bantu mengajar serta pendekatan yang digunakan oleh guru untuk
mengajar yang kurang menarik akan menyebabkan pelajar berasa bosan hingga menyebabkan
pelajar menunjukkan tingkah laku yang tidak sepatutnya. Kamaruddin Haji Husin (1994)
menyatakan bahawa persediaan guru sebelum mengajar amat penting bagi menjamin
kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran sekali gus dapat memastikan tingkah laku
murid dalam keadaan yang terkawal. Guru yang kreatif mampu menarik minat pelajar dan
seterusnya menghindarkan masalah tingah laku dalam kalangan mereka. Oleh itu, guru perlu
menggunakan kaedah dan bahan pengajaran yang sesuai untuk merangsang murid untuk
memberi tumpuan di dalam kelas.

Menurut Mok Soon Sang (2003), berdasarkan rumusan teori tersebut, guru disaran
melaksanakan modifikasi tingkah laku berpandukan kepada langkah-langkah seperti
mengenal pasti tingkah laku bermasalah yang ditonjolkan oleh pelajar dalam kelas, dan
menetapkan matlamat tahap pencapaian tingkah laku yang dikehendaki. Selain itu, guru juga
boleh memilih dan melaksanakan strategi dan teknik yang sesuai untuk memodifikasikan
tingkah laku yang dikenal pasti. Oleh itu, Teori Pembelajaran Operan Skinner menjadi
pertimbangan asas untuk proses pembiasaan. Peneguhan positif hanya diberikan selepas
perubahan tingkah laku negatuf kepada positif mengikut matlamat tahap pencapaian yang
ditentukan dan sekiranya pelajar masih mengulangi tingkah laku yang tidak diingini, guru
perlu menghapuskan semua jenis peneguhan sehingga tingkah laku negatif itu lenyap.

Omardin Ashaari (1999) menjelaskan bahawa peneguhan dapat menarik perhatian


pelajar untuk memahami pengajaran guru di samping menggalakkan pelajar untuk lebih giat
untuk mencuba sesuatu yang baru dalam pembelajaran. Peneguhan juga membantu pelajar
supaya memotivasikan diri untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran. Begitu juga
keyakinan diri pelajar yang semakin meningkat dan dapat membentuk pelajar yang berilmu,
dan berakhlak mulia.

6.3 Faktor Fizikal Bilik Darjah dan Sekolah

Faktor fizikal bilik darjah dan sekolah merupakan salah satu elemen penting dalam
membentuk tingkah laku pelajar. Prof. Atan Long (1980) berpendapat bahawa keadaan
sekolah yang tidak selesa akan menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku dalam

15
kalangan pelajar. Sebagai contoh, keadaan kelas yang mempunyai bilangan pelajar terlalu
ramai akan menimbulkan ketidakselesaan pelajar dan juga guru untuk memastikan proses
pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Selain itu, kemudahan dalam kelas yang tidak
lengkap juga turut menjejaskan keberkesanan aktiviti pembelajaran.

Dari segi keadaan sekolah pula, Omardin Ashaari (1999) berpendapat bahawa
persekitaran yang ceria di sekolah perlu diwujudkan supaya pelajar menjadi cergas untuk
bergerak secara aktif pada setiap masa. Sekolah perlu mempunyai struktur pentadbiran yang
tersusun, kakitangan yang mesra, dan sebagainya. Hal ini amat perlu bagi memastikan pelajar
sentiasa bersemangat ketika di sekolah dan seterusnya menjadi perangsang kepada mereka
untuk menimba ilmu pengetahuan.

6.4 Faktor Masyarakat

Masyarakat merupakan alam kehidupan manusia di dunia dan setiap masyarakat


mengamalkan kepercayaan dan kebudayaan yang berbeza. Hal ini secara tidak langsung
mempengaruhi sosio emosi, personaliti, dan mental seseorang individu. Sebagai contoh,
setiap golongan masyarakat mengamalkan ajaran dan nilai hidup tersendiri. Namun begitu,
semua ajaran tersebut tetap mengutamakan sikap dan nilai yang positif untuk diamalkan
dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai tersebut menjadi pegangan kepada setiap penganutnya
untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, rajin berusaha, bermoral, dan sebagainya.
Sebaliknya pula jika msyarakat tersebut mementingkan kebendaaan kerana mereka akan
mempengaruhi orang lain supaya mementingkan diri dan bersikap materialistik.

7.0 CARA-CARA MENANGANI MASALAH TINGKAH LAKU

Guru memainkan peranan penting dalam menguruskan pelajar semasa di dalam kelas
terutama dalam mencorakkan sikap dan tingkah laku pelajar supaya mereka mengamalkan
tingkah laku yang positif dan bertanggungjawab. Walaupun pelbagai cabaran perlu ditempuh,
guru harus memastikan bahawa kemahiran yang diperoleh digunakan sebaik-baiknya bagi
meringankan beban tugas yang digalas. Sehubungan itu, kemahiran-kemahiran seperti
kemahiran komunikasi dan pengurusan disiplin merupakan antara dua kemahiran yang perlu
dikuasai oleh guru dan harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

16
7.1 Kemahiran Komunikasi

Komunikasi merupakan satu interaksi sosial antara satu individu kepada satu individu yang
lain melalui aktiviti pemindahan mesej. Komunikasi boleh berlaku sama ada secara lisan atau
bukan lisan. Khairul Azam Bahari (2005) mentakrifkan komunikasi lisan sebagai suatu
bentuk komunikasi yang menggunakan suara dan bahasa (percakapan) sebagai medium dalam
perhubungan., manakala komunikasi bukan lisan pula merujuk kepada suatu bentuk
komunikasi yang menggunakan pergerakan anggota badan sama ada badan atau mimik muka
dan juga intonasi suara.

Dalam sebuah kelas, komunikasi sering berlaku dan perlu berlaku supaya aktiviti
pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan. Sebagai contoh, guru menyampaikan isi
pelajaran dengan jelas dan menarik melalui nada suara yang lantang supaya pelajar mudah
untuk memahami isi kandungan pelajaran yang diajar oleh guru. Selain pengajaran melalui
komunikasi lisan, guru juga dapat memberikan peneguhan melalui komunikasi bukan lisan
seperti memberi dorongan kepada pelajar dengan mengangguk kepala dan memberi senyuman
selepas mereka mencuba sesuatu sebagai tanda menghargai pelajar.

Selain itu, Abd. Rahim Abd. Rashid (1999) menyatakan bahawa guru yang cekap
mempunyai pelbagai cara untuk menyesuaikan diri dengan pelajar. Oleh itu, guru perlu
menguasai kemahiran komunikasi dengan baik bagi melahirkan komunikasi yang berkesan.
Di samping itu, kemahiran komunikasi juga amat penting bagi membolehkan seseorang guru
menyampaikan isi pengajaran dengan jelas dan mudah difahami.

Gaya kepimpinan guru juga dilihat sebagai salah satu aspek yang amat dititikberatkan
bagi memudahkan guru mengawal kelas. Lippit dan White (1958) menjelaskan bahawa
kawalan dengan cara kekerasan dianggap sebagai berwibawa. Namun begitu, Ee Ah Meng
(1998) menganggap bahawa gaya kepimpinan guru yang bersifat autokratik jarang melibatkan
pelajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana guru seperti
ini menganggap bahawa pelajar akan mengancam kewibawaan mereka sebagai guru di
samping dianggap mengganggu aktiviti pembelajaran.

Selain itu, terdapat juga guru yang mengamalkan sikap pasif dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran. Hal ini bermaksud guru akan membiarkan pelajar untuk mencari segala
maklumat yang diingini tanpa memberi penilaian positif mahupun negatif (Lippit dan White,
1958). Keadaan ini dikelaskan sebagai kepimpinan laissez-faire oleh Ee Ah Meng (1998)

17
kerana pelajar menjadi kurang produktif di hadapan guru dan banyak menghabiskan masa
untuk bertanya dan mendapatkan maklumat sahaja.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah meletakkan kaedah pengajaran yang


berpusatkan pelajar supaya menjadi fokus utama dalam pengajaran dan pembelajaran
menerusi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM). Rentetan prinsip tersebut, kurikulum latihan perguruan di institusi-
institusi perguruan di seluruh Malaysia telah diubahsuai bagi memenuhi keperluan tersebut.
Selain itu, maktab-maktab perguruan di Malaysia telah dinaik taraf menjadi Institut Perguruan
Guru (IPG) bagi melatih bakal-bakal guru supaya menguasai kemahiran pedagogi yang
terbaik dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kelak.

7.2 Pengurusan Disiplin

Pengurusan bilik darjah bertujuan untuk mewujudkan suasana dan persekitaran yang menarik,
kondusif, dan ceria. Hal ini amat penting supaya guru dapat memastikan pelajar dapat
menguasai pembelajaran semaksima yang mungkin. Menurut Abd. Rahim Abd. Rashid
(1999), selain perancangan dan pengurusan bilik darjah yang baik, terdapat faktor lain yang
mempengaruhi suasana dalam bilik darjah seperti jumlah pelajar, komposisi jantina,
sosialisasi pelajar, dan sebagainya. Oleh itu, guru perlu bijak mengatur langkah bagi
membentuk tingkah laku pelajar yang positif.

Selain itu, peneguhan dan rangsangan positif perlu dilakukan supaya pelajar berasa
lebih dihargai melalui kata-kata pujian seperti ‘syabas’, ‘tahniah’ dan ‘teruskan usaha’ dapat
mempengaruhi minat pelajar untuk terus mencuba di samping mengeratkan lagi hubungan
antara pelajar dan guru.

Dari segi humanistik, Omardin Ashaari (1999) pula berpendapat bahawa guru
seharusnya mewujudkan perhubungan yang mesra, namun guru perlu tegas dengan setiap
arahan yang diberikan tanpa mengabaikan matlamat yang ingin dicapai. Mengikut Abd.
Rahim Abd. Rashid (1999), amat penting bagi guru untuk memberi penghormatan kepada
pelajar atas segala usaha yang telah dilakukan. Guru perlu bertindak sebagai pendorong yang
mendorong pelajarnya supaya terus maju dalam kehidupan. Hal ini amat penting bagi
memastikan bahawa pelajar sentiasa rasa disokong.

Dari segi kognitif pula, guru perlu memulakan sesuatu pelajaran dengan topik yang
paling mudah kepada topik yang sukar. Hal ini kerana pelajar akan mudah mengikuti
18
pelajaran dengan turutan isi pelajaran yang tersusun dan mudah bagi mereka untuk
menghubungkait setiap pelajaran yang telah diberi oleh guru. Selain itu, guru digalakkan
menerapkan sesi soal jawab di dalam kelas supaya segala kesukaran yang dihadapi dapat
diselesaikan dengan mudah. Hal ini juga secara tidak langsung melatih mereka untuk
berkomunikasi apabila mereka menjejakkan kaki ke menara gading kelak.

8.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, tingkah laku pelajar amat dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dan naluri
mereka sendiri. Guru bukan sahaja bertindak sebagai tenaga pengajar yang hanya mengajar
mata pelajaran yang telah ditetapkan tetapi juga sebagai pembimbing dan penasihat kepada
pelajar itu sendiri. Hal ini kerana pelajar merupakan individu yang sering tersasar daripada
landasan yang sepatutnya dalam arus permodenan yang pesat membangun dan masyarakat
sekeliling perlu lebih prihatin bagi mengelakkan anak-anak muda ini tersasar lebih jauh. Oleh
itu, segala tindakan susulan wajar dilakukan terutama di sekolah bagi mengatasi masalah
tingkah laku pelajar yang semakin kritikal supaya anak bangsa kita tetap terpelihara.

BIBLIOGRAFI

Abd. Rahim Abd. Rashid (1999), Profesionalisme Motivasi Pengurusan Bilik Darjah,.
Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd

Kamarudin Hj. Husain (1994), Dinamika Sekolah dan Bilik Darjah


Kuala Lumpur : Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd

Omardin Ashaari (1999), Pembelajaran Kreatif untuk Pembelajaran Aktif,


Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustak
19
Teori Dan Model Pembelajaran diperoleh pada 11 Februari 2010 daripada

http://www.sabah.edu.my/skpmtdon/notes/Teori%20&%20Model%20P&P.pdf.

Teori-teori Kognitif diperoleh pada 14 Februari 2010 daripada

http://eprints.utm.my/6258/1/2.pdf.

Pengurusan Tingkah Laku diperoleh pada 14 Februari 2010 daripada

http://www.scribd.com/doc/4874687/PENGURUSAN-T-LAKU

Pengurusan Bilik Darjah yang Berkesan diperoleh pada 14 Februari daripada

http://www.scribd.com/doc/24163511/Slaid-Pen-Gurus-An-Bilik-Djh-Brkesan

20

Potrebbero piacerti anche