Sei sulla pagina 1di 2

Karangan Cemerlang Pelajar tahap SPM - Kebaikan bergotong-royong

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada
ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya
yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak basah dek hujan, tak lekang
dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa agar sentiasa releven
dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baharu ini. Yang berlaku
sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu
dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong.
Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang tidak mengenali maksud gotong-royong dan
melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan muda generasi kini yang telah bergotong-
royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian,kita mestilah mengenali
faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.

Amalan bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal


merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat
tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita
tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan
bergotong–royong kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran
dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta. Apabila
kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan
tempat tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni
bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong dapat menghijaukan bumi. Bak
kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong–
royong, kita dapat lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan
masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh bercerai kita roboh .
Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya tidak diketahui lagi. Janganlah kita
lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang
penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan
berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit. Kata Tun Dr. Mahathir, “mencegah
lebih baik daripada mengubati”. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat
berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan
menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh
pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa
senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai jikalai kita
mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus
diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk
mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Kegiatan bergotong-royong memainkan
peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang
dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin
lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan
kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi
dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum masing-
masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak.
Melaui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan
menghormati sesama diri. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing .
Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini
dikatakan demikian kerana Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan
bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerap pelbagai
nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam ,minum air. Jelas beliau
semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai
murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima
oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air
kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat


demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan
terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat
dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat
bersatu padu . Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah
membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya.
Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah,
berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita,
iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah
yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan membantu apabila kita menghadapi
kesusahan nanti. Tak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa
"Jiran sepakat membawa berkat".
Intihanya , amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak . Dengan mengamalkan
semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah dengan secara tidak langsung.
Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai.
Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi
setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang
baik dan amalkannya dalam kehidupan harian. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan,
yang buruk dijadikan sempadan.

Potrebbero piacerti anche