Murid-murid digalakkan menabung. Tulis sebuah karangan
tentang faedah-faedah menabung.
Menabung ialah amalan baik. Oleh itu, kita digalakkan menabung sejak kecil. Kita boleh menyimpan wang di dalam bank atau tabung. Menabung mempunyai banyak faedah. Antaranya ialah wang simpanan boleh digunakan semasa kecemasan atau terdesak. Contohnya apabila menghidapi penyakit, wang simpanan boleh digunakan untuk membayar kos perubatan. Selain itu, wang simpanan boleh memudahkan kita berbelanja untuk membeli sesuatu barang yang dihajati seperti buku rujukan, komputer, basikal, dan lain-lain lagi. Dengan ini, kita tidak perlu bergantung kepada ibu bapa dan dapat meringankan beban mereka. Kita juga boleh menggunakan wang simpanan untuk membayar yuran persekolahan. Di samping itu, kita boleh mendermakan wang kepada orang yang menghadapi masalah seperti rumah anak yatim, mangsa banjir, mangsa kebakaran, rumah orang tua, dan sebagainya. Wang yang kita dermakan itu boleh membantu mereka untuk menyelesaikan masalah. Menabung juga boleh melatih kita berjimat-cermat. Dengan ini, kita tidak akan bersikap boros berbelanja untuk membeli sesuatu yang tidak penting. Kita juga boleh menggunakan wang simpanan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Dengan ini, masa depan kita akan terjamin. Bak kata perpatah sediakan payung sebelum hujan. Saya berharap orang ramai akan mengamalkan sikap menabung kerana menabung mempunyai banyak faedah.
Faedah Menabung Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap suka menabung perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah kepada kita. Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh sebab itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan air dan makanan ke sekolah. Justeru, baki duit yang diberi ibubapa dapat disimpan ke dalam tabung.
Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu, wang simpanan juga membantu kita membeli barang- barang keperluan diri kita sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan berdikari itu.
Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit wang itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, wang ini juga boleh digunakan jika ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru kita tidak perlu meminta-minta kepada orang lain.
Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan masa hadapan. Justeru kita dapat hidup dengan selesa dan tidak menyusahkan orang lain.
Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah, 'ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari sekarang kerana 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Faedah-faedah Menabung
Menabung merupakan amalan yang harus dipupuk sejak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biar daripada rebungnya. Pelbagai faedah dapat diperoleh daripada amalan menabung.
Amalan menabung dapat membentuk diri menjadi insan yang berjimat-cermat. Kita akan sentiasa berhati-hati sewaktu membeli barang. Kita dapat membezakan antara barang yang perlu dan barang yang diinginkan.
Selain itu, amalan menabung dapat membantu kita sewaktu diperlukan. Wang tabungan dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kita tidak perlu meminjam kerana perkara tersebut tidak harus diamalkan.
Amalan menabung juga dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa. Kita tidak perlu mengharapkan wang ibu bapa. Wang tabungan kita boleh digunakan untuk membeli buku rujukan atau alat tulis. Kita sebenarnya dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa dan menjadi anak yang lebih bertanggungjawab.
Di samping itu, wang tabungan dapat digunakan untuk melanjutkan pelajaran. Sekiranya kita memerlukan wang untuk membayar yuran dan peralatan yang diperlukan,kita boleh menggunakan wang tabungan. Kita sebenarnya telah merancang kewangan dengan baik.
Kesimpulannya, amalan menabung harus diamalkan oleh semua orang. Amalan menabung dapat membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih berkualiti.