Sei sulla pagina 1di 4

Pencemaran Gelombang Elektromagnet dan Kaedah Mengatasinya

by EDITOR on Feb 24, 2011 3:40 pm No Comments





Oleh : Ismayadi Ismail



Institut Teknologi Maju (ITMA)

Universiti Putra Malaysia



Sejak bermulanya komunikasi melalui radio telah wujudnya kesan-kesan negatif dari
gangguan gelombang secara sengaja dan juga tidak sengaja dan keperluan masalah ini
perlu diatasi bagi meningkatkan kemantapan komunikasi yang berkesan. Pada 1993,
satu mesyuarat bagi International Electrotechnical Commission (IEC) telah
diadakan di Paris yang disokong oleh International Special Committee on Radio
Interference (CISPR) bagi membincangkan penyelesaian masalah gangguan EMI
terhadap peralatan elektronik. Hasil dari laporan teknikal yang diterbitkan dari semasa
ke semasa oleh pihak terbabit, peraturan penggunaan alat elektronik telah berevolusi
dan menjadi peraturan di seluruh dunia. Pada tahun 1979, had sah terhadap penyebaran
EMI dari semua peralatan digital telah dibuat berdasarkan kajian yang dilaporkan oleh
CISPR. Pada pertengahan 1980, ahli Kesatuan Eropah telah menyelaraskan peraturan
tersebut bagi semua alat elektronik dan sekarang terdapat banyak lagi negara yang telah
mengambil langkah yang sama bagi menghadkan penyebaran EMI bagi alat elektronik.


Penggunaan telefon bimbit di dalam kapal terbang semasa penerbangan adalah ditegah
kerana dibimbangi wujudnya bahaya terhadap kapal terbang dan penumpang. Larangan
tersebut dikeluarkan kerana penggunaan telefon bimbit dikatakan boleh memberi kesan
terhadap kelengkapan sistem navigasi di dalam kokpit dan peralatan sedemikian
mestilah ditutup semasa kapal terbang di udara. Penggunaan telefon bimbit dan juga
peralatan sejenis dengannya telah ditegah oleh badan yang berkuasa seperti Federal
Aviation Administration di Amerika dan juga pihak berkuasa yang lain di seluruh
dunia. Banyak alasan dan sebab telah diberikan serta ujian telah dilakukan bagi
mengenal pasti sebarang kemungkinan yang akan timbul akibat penggunaan telefon
semasa penerbangan.





Masalah utama penggunaan telefon bimbit ataupun peralatan elektronik lain adalah
gangguan terhadap sistem komputer penerbangan akibat perisai elektromagnet yang
lemah dan menyebabkan kegagalan kawalan sistem. Dr. Steve Sangwine dari University
of Essex dalam bukunya yang bertajuk Electronic Components and
Technology telah mentakrifkan sebarang tenaga elektrik atau elektromagnet yang
tidak dikehendaki mengganggu operasi normal sesuatu sistem diklasifikasikan sebagai
gangguan gelombang elektromagnet atau dalam Bahasa Inggeris Electromagnetic
Interference (EMI). EMI ini boleh mengganggu operasi sesuatu alat disebabkan oleh
penggunaan alat lain. Contohnya, seseorang yang menonton televisyen akan melihat
terdapatnya gangguan pada siaran (snow effect) di kaca tv ketika seseorang yang lain
menggunakan alat pengering rambut. Selain itu gelombang yang tidak dikehendaki ini
juga boleh menyebabkan penggunaan telefon bimbit terbatas. Sama seperti larangan
penggunaan telefon bimbit dalam penerbangan, penggunaannya di hospital juga amat
tidak digalakkan kerana boleh mengganggu peralatan elektronik di hospital untuk
tujuan rawatan pesakit.


Terdapat tiga faktor bagi membolehkan proses EMI berlaku iaitu wujudnya sumber
isyarat gangguan, medium perantaraan serta penerima gelombang. Jika salah satu
daripada faktor-faktor ini tidak wujud, maka EMI tidak akan terjadi. Keberkesanan
untuk menerima gelombang (receptor element) bergantung kepada kekuatan sumber
isyarat, medium perantaraan dan jarak daripada sumber. Mekanisme perantaraan di
antara sumber dan penerima adalah sangat kompleks bagaimanapun jika alat-alat ini
diasingkan kepada tiga komponen asas iaitu antena, alat dan talian (kabel), maka
mekanisme ini boleh difahami. Terdapat dua cara yang membolehkan isyarat EMI
memasuki dan meninggalkan sistem elektronik iaitu secara kekonduksian di sepanjang
talian dan kabel serta secara radiasi melalui ruang terbuka contohnya ruang udara.


Sebarang peranti elektrik atau elektronik yang mempunyai arus dan voltan yang
berubah-ubah boleh menjadi sumber kepada EMI. Sumber EMI boleh dikelaskan
kepada dua kategori iaitu sumber semulajadi dan sumber yang dihasilkan oleh manusia.
Sumber yang terhasil daripada manusia pula boleh lagi dibahagikan kepada
menggunakan gelombang dan tanpa menggunakan gelombang.


Sumber EMI semulajadi ialah sumber isyarat gangguan yang berkaitan dengan
fenomena semulajadi termasuk fenomena discas atau mengecas atmosfera, contohnya
seperti pemendakan statik dan isyarat matahari. Isyarat gangguan semulajadi boleh
dipindahkan melalui medium medan elektromagnet. Ia melibatkan pergerakan tenaga
daripada sumber dan menyerakkan atau menyebarkan gelombang ke ruang bebas dan
seterusnya ke peranti.


Menurut Dr. Berhard E. Kaiser dalam bukunya yang bertajuk Principles of
Electromagnetic Compatibility, sumber isyarat elektromagnet yang berkaitan
dengan peranti atau sistem yang dihasilkan oleh manusia boleh dibahagikan kepada dua
iaitu sumber menggunakan gelombang dan sumber tanpa gelombang. Peralatan yang
mengguna gelombang adalah seperti radar, telefon bimbit, kapal terbang dan lain-lain
lagi. Sumber yang tidak melibatkan penggunaan gelombang adalah seperti suis, motor
elektrik, lampu fluoresen dan banyak lagi. Peralatan elektrik dan elektronik yang berada
berhampiran di antara satu sama lain juga mempunyai potensi untuk menghasilkan
gangguan elektromagnet selain daripada gangguan yang wujud di dalam sistem sendiri.
Secara umumnya, EMI daripada sumber manusia dan semulajadi, kedua-duanya
mempengaruhi sistem (melalui mekanisme penyerakan atau pengaliran) dan
menyebabkan sistem yang telah direkabentuk untuk sesuatu fungsi tidak dapat
beroperasi dengan baik.





Bahan ferit digunakan sebagai alat penumpas (supressor) gangguan EMI
dalam peralatan elektronik



Pengawalan masalah gangguan EMI ini melibatkan implimentasi kaedah dan cara
berbeza yang berkait rapat dengan perkembangan fasa sistem, contohnya seperti
rekabentuk, pengeluaran konsep serta fasa operasi. Ia juga bergantung kepada beberapa
faktor iaitu impedans sumber, frekuensi lebar jalur gangguan, panjang talian/kabel dan
juga tahap gangguan. Faktor-faktor tersebut perlu diambilkira sebelum membuat alat
penumpas (suppressor) untuk menghapuskan kesan gangguan EMI. Selain itu,
perekabentuk juga perlu tahu samada gangguan EMI tersebut berpunca daripada sistem
itu sendiri ataupun dari peralatan lain.
Penggunaan peralatan elektronik yang semakin bertambah masa kini, beroperasi pada
frekuensi-frekuensi yang tertentu akan menjanakan isyarat gangguan EMI sehingga 10
kali ganda frekuensi alat tersebut. Contohnya komputer peribadi dengan pemprosesan
yang beroperasi pada 40MHz menghasilkan EMI sehingga 400MHz. Untuk mengatasi
masalah ini, bahan ferit digunakan bagi menumpaskan isyarat gangguan EMI ini dengan
membenarkan alat tersebut beroperasi dengan baik. Bahan ferit adalah sejenis bahan
seramik dengan sebatian kimia ferum teroksida, Fe2O3 sebagai komponen utama
adalah bahan magnet yang banyak sekali digunakan sebagai magnet kekal, transformer,
induktor dan dalam pelbagai lagi aplikasi elektronik. Penumpas EMI yang menggunakan
bahan ferit biasanya digunakan sebagai elemen peranti dua terminal. Penumpas EMI
ferit memerlukan frekuensi jalur lebar, faktor Q yang rendah dan mempunyai impedans
yang tinggi. Sifat-sifat bahan ferit yang berguna dan sesuai bagi bahan penumpas ini
adalah kerana ia mempunyai sifat-sifat kehilangan tenaga yang tinggi dengan
pertambahan frekuensi. Oleh itu lebih banyak gangguan boleh diserap dan ini boleh
meminimakan masalah resonans.


Perkembangan teknologi dan penggunaan peralatan elektronik pada masa kini telah
memberikan sumbangan yang besar kepada kehidupan manusia. Perkembangan ini
menghasilkan berbagai bentuk pencemaran gelombang EMI yang boleh mengganggu
operasi sesuatu alat. Bahan penumpas EMI amat diperlukan bertujuan mengurangkan
kesan gangguan ini. Kajian penggunaan bahan ferit sebagai penumpas EMI telah lama
dijalankan terutamanya di Institut Teknologi Maju (ITMA) dan Fakulti Sains,
Universiti Putra Malaysia yang telah mempelopori bidang ini. Beberapa IPTA lain
termasuklah USM dan UNITEN juga terlibat dalam kajian tersebut.


Catatan :// Artikel ini diterbitkan di Dewan Kosmik Januari 2011.
Diterbitkan semula di MajalahSains.Com dengan kebenaran penulis
- See more at: http://www.majalahsains.com/2011/02/pencemaran-gelombang-elektromagnet-dan-kaedah-
mengatasinya/#sthash.cBVmBYmQ.dpuf

Potrebbero piacerti anche