Sei sulla pagina 1di 3

ANYAMAN

PENGENALAN
Seni anyaman ialah milik masyarakat Melayu yang masih dikagumi dan digemari sehingga
hari ini. Kegiatan seni anyaman ini telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Ini boleh dilihat
pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam
dengan buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah
yang berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal
menebat pengaliran haba.

Seni anyaman dipercayai bermula dan berkembang tanpa menerima pengaruh luar.
Penggunaan tali, akar dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan
anyaman yang telah menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lalu. Bahan-bahan asas
tumbuhan ini tumbuh meliar di hutan-hutan, paya-paya, kampung-kampung dan kawasan di
sekitar pasir pantai.

Pelbagai rupabentuk kraftangan dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman dari
jenis tumbuhan pandanus (pandan dan mengkuang). Bentuk-bentuk anyaman dibuat
didasarkan kepada fungsinya. Misalnya bagi masyarakat petani atau nelayan, kerja-kerja
anyaman dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupa bentuk yang
digunakan sehari-harian.

Selain daripada tumbuhan jenis pandanus, bahan asas lain yang sering digunakan ialah
daripada tumbuhan bertam, jenis palma engeissona tritis dan nipah. Berdasarkan bahan dan
rupa bentuk anyaman yang dihasilkan, seni anyaman ini merupakan daya cipta dari
kelompok masyarakat luar istana yang lebih mengutamakan nilai gunaannya. Walau
bagaimanapun pada sekitar tahun 1756 hingga1794 telah terdapat penggunaan tikar Raja
yang diperbuat daripada rotan tawar dan anyaman daripada bemban.

Proses menganyam disebut juga sebagai "menaja". Untuk memulakan satu-satu anyaman
waktu yang baik ialah pada sebelah pagi atau malam. Dalam keadaan cuaca yang redup
atau dingin, daun-daun lebih lembut dan mudah dibentuk tanpa meninggalkan kesan-kesan
pecah. Biasanya beberapa orang melakukan anyaman ini berkelompok di halaman rumah
atau beranda rumah pada waktu malam, petang atau waktu-waktu senggang pada sebelah
pagi (jika kelapangan, kerana waktu pagi biasanya dipenuhi dengan kerja-kerja tertentu).

Rupa bentuk anyaman tradisi yang masih kekal penciptaan dan fungsinya hingga kini ialah
tikar. Selain tikar yang datar dengan sifat dua dimensi, terdapat rupa bentuk anyaman tiga
dimensi. Bentuk-bentuk anyaman begini biasanya digunakan oleh masyarakat pada masa
dahulu untuk mengisi atau menyimpan bahan-bahan keperluan hidup dan kegunaan
seharian. Beberapa daripada rupa bentuk ini ialah bakul, kampit (bekas belacan), tudung
saji, kembal (rombong) dan sebagainya.

Terdapat dua ciri-ciri penting dalam ragam hias anyaman, iaitu penciptaan kelarai (motif)
dan corak. Istilah kelarai dikhususkan kepada motif yang "berbentuk" (selalunya unsur alam)
sementara corak dimaksudkan kepada susunan warna tanpa memperlihatkan kepada
susunan warna dan bentuk motif. Anyaman tanpa kelarai disebut sebagai "gadas". Terdapat
kira-kira 51 jenis kelarai yang berdasarkan unsur-unsur alam semulajadi seperti unsur-unsur
tumbuhan dan binatang.

Di sesetengah tempat kelarai dimaksudkan kepada anyaman yang diperbuat daripada buluh
dan digunakan sebagai dinding atau penyekat ruang rumah. Sementara di sesetengah
tempat lain anyaman seperti ini diperbuat daripada bahan bertam yang disebut sebagai
tupas. Ciptaan kelarai atau tupas lebih kukuh, tegas dan kasar bersesuaian dengan
fungsinya sebagai penyekat ruang. Tiada bukti yang jelas untuk menetapkan tarikh
bermulanya penciptaan kelarai. Melalui kajian yang dibuat dapat dikatakan bahawa
penciptaan kelarai dalam anyaman merupakan satu perlakuan yang telah lama berlaku.

Bunga sulam merupakan satu teknik yang terdapat dalam ragam hias anyaman di mana ia
akan mencantikkan lagi hasil yang telah dibentuk. Teknik sulam adalah teknik susun susup.
Kesan bentuk bunga yang dibuat lebih merupakan kesan geometri asas seperti susunan
bentuk tiga, segi empat, potong wajik dan sebagainya lagi.

Seni kerja tangan anyaman adalah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya. Namun begitu,
usaha untuk mempertahankan keunikan seni ini haruslah diteruskan agar tidak ditelan
peredaran zaman. Budaya negara bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan
adat resam bangsanya tetapi juga dicerminkan melalui kehalusan kerja tangan bermutu
tinggi. Seni warisan yang unik ini wajar diberi perhatian, sokongan dan bantuan supaya
dapat terus dipelihara dan dimanfaatkan bersama.

Zaman dahulu menganyam tikar, Sunyi menyepi desa terpinggir, Seni anyaman haruslah
diajar, Jangan tinggal sebutan dibibir. Buluh muda mudah dilentur, Buat ampaian penyidai
jala, Semangat juang belum luntur, Seni anyaman jangan dilupa.

DEFINISI ANYAMAN
Anyaman bermaksud proses menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk
dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan-bahan tumbuhan yang boleh
dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan, mengkuang, jut dan sebagainya. Bahan ini
biasanya mudah dikeringkan dan lembut.

ALAT DAN BAHAN
1.ROTAN
Antara teknik pengeringan rotan adalah dengan menyandarkan batang rotan pada palang
jemur. Rotan merupakan bahan yang paling digemari kerana rotan tahan lama dan mudah
dibentuk. Rotan, buluh dan lidi sering dijadikan sebagai bakul, lekar dan berbagai-bagai
bentuk bakul atau alat-alat menangkap ikan
2.POHON MENGKUANG
Mengkuang tumbuh subur di kawasan berair tawar. Biasanya ia subur di lopak-lopak belukar
atau kawasan bakau dan kawasan sawah padi yang lembab. Pohon mengkuang lebih tinggi
daripada pohon pandan, tetapi mengkuang mempunyai dahan bercabang yang sedikit jika
dibandingkan dengan pohon pandan. Daun mengkuang lebih kasar dan hasil anyamannya
kelihatan lebih kasar dan keras.

3.BULUH
Antara buluh yang sering digunakan ialah buluh akan, buluh bentung, buluh minyak dan
buluh gading. Buluh yang cukup tua dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Mengikut
cara tradisional buluh akan direndam di dalam air selut (air tanah) bercampur asam selama
satu minggu. Tetapi kini cara yang paling mudah, buluh direbus bersama soda bagi
mengeluarkan kandungan gulanya. Namun begitu buluh yang direndam tetap dianggap
lebih cantik dan menarik.

TOKOH ANYAMAN
Puan Aminah dilahirkan pada tahun 1944. Berasal dari Rusila Terengganu Darul Iman, iaitu
tempat penghasilan kraftangan anyaman yang terkenal. Puan Aminah merupakan tokoh kraf
anyaman yang telah dipilih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1982 beliau
memenangi tempat pertama dalam pertandingan Pertukangan tangan sezaman anjuran
muzium Negara. Hingga kini beliau masih aktif sebagai seorang ahli kraftangan anyaman.
LAIN-LAIN TOKOH
Cik siah Jumaat dari Terengganu (mencipta kelarai sambas).
Hjh Asiah Bt Salleh (mencipta motif tapak harimau)
Hjh Semek (mencipta kelarai mak meh)
Esah bt Said (mencipta kelarai sisik kelah)
Dayang Aisah (mencipta kelarai bunga)

CONTOH-CONTOH GAMBAR ANYAMAN

Potrebbero piacerti anche