Sei sulla pagina 1di 3

TEKAT

PENGENALAN
Seni tekat dikenali juga dengan nama bersuji. Menekat merupakan kerja menyulam benang
emas ke atas kain dasar (jenis baldu). Kerja-kerja menekat memerlukan pemidang untuk
meregangkan kain baldu, mempulur sebagai acuan motif dan benang emas untuk
membentuk bunga tekat.

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN
Asal-usul dan perkembangan tekat secara langsung dikaitkan dengan kegunaan pakaian
dan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana. Perkembangan awal seni tekat dapat
dikesan pada awal kurun ke-15, iaitu semasa zaman keagungan Sultan Melayu Melaka.
Kesan penggunaan sulaman dapat dilihat di kalangan masyarakat Cina yang keturunan
Baba Melaka. Mereka menggunakan sulaman tekat untuk pakaian-pakaian mereka.

Hingga ke hari ini seni tekat masih dihasilkan oleh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan dan
Negeri Sembilan Darul Khusus. Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri yang banyak
sekali mengusahakan kraf seni tekat timbul benang emas. Terdapat beberapa jenis tekat
yang dikerjakan oleh pandai tukang menekat. Antaranya ialah tekat timbul benang emas,
tekat gubah dan tekat perada.

FUNGSI TEKAT
Ia hanya digunakan untuk istiadat dan upacara tertentu. Ia digunakan sebagai kelengkapan
perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan, berkhatam Quran dan
seumpamanya. Di kalangan kerabat diraja, tekat merupakan pakaian kebesaran dan hiasan
seharian. Penggunaannya di kalangan masyarakat biasa agak terbatas kerana bahan
asasnya merupakan bahan mewah. Penciptaannya juga memerlukan waktu yang lama dan
hasilnya yang indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila digunakan.

PERANAN INSTITUSI ISTANA
Pada masa dahulu, istana merupakan penggerak utama pertumbuhan kraf seni tekat. Ramai
pandai-pandai tukang tekat dijaga oleh pihak istana. Ini adalah kerana kelengkapan istana
memerlukan tekat benang emas. Tekat benang emas menampakkan kemewahan dan
keagungan. Ramai pandai tukang pada masa itu membuat tekat untuk kegunaan istana.
Secara langsung istana telah menggalakkan kraf tangan seni tekat. Setelah wujudnya
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, perusahaan menekat dimajukan lagi dengan
program-program latihan, promosi, ciptaan yang baru, galakan pengeluaran dan menjual
hasil ke luar negara. Tekat terus berkembang dengan hasil mutunya yang terjamin. Promosi
yang dijalankan pada masa sekarang oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia,
Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan industri pelancongan telah mendorong tukang
sebu untuk menghasilkan ciptaan-ciptaan yang lebih bermutu dan berterusan. Secara
langsung, kehalusan dan keunikan seni tekat dapat membantu memperkenalkan mutu seni
tersebut kepada masyarakat tempatan dan pelancong luar.

TOKOH TEKAT
1. Ahdijah bt. Hasim

Ahdijah b. Hasim adalah seorang tokoh kraftangan tekat yang telah dipilih oleh Perbadanan
Kraftangan Malaysia. Beliau juga dilantik sebagai Adiguru kerana kepakaran dalam bidang
tekat. Beliau mula belajar menekat daripada Ibunya bernama Anatishaah bt. Bilai Din juga
seorang tokoh tekat di Kuala Kangsar, Perak. Beliau juga banyak menerima tempahan tekat
antaranya ialah daripada Sultan Perak, Sultan Johor, Sultan Selangor dan Baju penabalan
Yang Di Pertuan Agong.

2. Hajah Azizah bt. Mohd Yusof

Hajah Azizah berasal dari Kg. Panang Changkat, Bukit Candan, Kuala Kangsar Perak.
Kemahiran menekat adalah di warisi dari ibu dan warisan keluarga sejak turun temurun.
Sekarang beliau menumpukan sepenuh masa dalam perusahaan menekat. Sebelum ini
beliau adalah seorang jurulatih di Perbadanan Kraftangan Cawangan Perak. Beliau pernah
mewakili negara ke Jepun, Arab saudi dan Brunei untuk membuat demontrasi menekat.

JENIS-JENIS TEKAT
1. Tekat Timbul Bunga Emas

Tekat ini menggunakan mempulur sebagai awan untuk membentuk corak motif. Mempulur
ialah kertas keras yang dipotong dan ditebuk mengikut corak motif. Sulaman benang emas
akan menutupi mempulur di atas kain baldu.

2. Tekat Gubah

Tekat gubah tidak menggunakan mempulur sebagai corak gubahan. Pandai tukang hanya
menyulam dan membentuk corak motif melalui benang merah yang dipanggil benang untina.
Hiasan corak tekat gubah diiringi dengan labuci dan manik-manik. Kain dasar tekat gubah
adalah dari kain biasa. Kegunaan gubahan tekat ialah menghiasi tudung saji, tepak sirih,
kasut pengantin, sejadah, penutup pahar, peralatan upacara perkahwinan, lemudi pintu,
pakaian diraja dan sebagainya.

PROSES MENEKAT
* Bahan asas penting untuk mencipta tekat ialah benang emas, benang putih dan kain dasar
dari jenis kain baldu. Di samping itu terdapat juga bahan dari rotan sega, kertas tebal dan
kanji (gam) yang digunakan untuk mempulur. Penggunaan mempulur akan menjadikan
bentuk sulaman timbul.


* Proses pertama ialah membentuk empulur. Bentuk motif dilukis di atas beberapa helai
kertas yang dilekat tindih antara enam hingga lapan helai. Kemudiannya bentuk motif ini
dipotong dan diasingkan. Lebar tiap-tiap batang mempulur kertas dibuat antara 0.5
sentimeter dan 0.25 sentimeter. Mempulur daripada kertas digunakan untuk membentuk
motif tumbuhan dengan gaya organik. Corak yang terhasil daripada mempulur rotan sega
bercorak banji atau corak kisi-kisi dan corak dangai atau catur.

* Seterusnya, kain dasar yang tebal tetapi lembut daripada jenis baldu yang berbulu halus
dan berkilat ditegangkan pada pemidang kayu. Kain baldu yang selalu digunakan daripada
warna gelap seperti merah pulasan, merah tua, ungu, hijau tua dan hitam. Pemidang kayu
pula ada dua jenis iaitu pemidang berkaki dan tanpa kaki. Ukuran pemidang bergantung
kepada reka bentuk yang diingini. Baldu yang ditegangkan pada pemidang disambungkan
dengan kain putih yang diikatkan ke bingkai pemidang. Oleh itu, baldu akan menjadi tegang.

* Selepas itu, benang emas akan ditindih dan diikat jahit oleh benang putih melalui jarum
yang sedang matanya. Ukuran jarum menentukan ikatan supaya tidak meninggalkan kesan
lubang pada kain dasar. Jarum akan dicucuk agak ke dalam dari bawah batang mempulur.
Ikatan benang putih mestilah ketat dan kukuh. Setiap kali merentas, benang-benang emas
haruslah disusun rapat-rapat supaya batang mempulur tidak kelihatan dari atas. Dengan ini
sulaman akan kelihatan lebih teratur dan kemas.

* Tekatan dibuat sehingga seluruh bentuk mempulur tertutup oleh sulaman. Pada bahagian
cantuman benang ataupun pada ruang yang tertinggal kosong ditutup dengan kertas emas
atau labuci.
CONTOH-CONTOH GAMBAR TEKAT

Potrebbero piacerti anche