Sei sulla pagina 1di 2

Angkatan Pelukis Semenanjung (APS)

Angkatan Pelukis Semenanjung telah ditubuhkan pada 24 Mac 1956 di bawah nama Majlis
Kesenian Melayu (Malay Art Council), dan kini dikenali sebagai Angkatan Pelukis Se-Malaysia
(APS). Bertunjangkan falsafah Seni Nilai Bangsa yang menjadi asas kreativiti kumpulan ini,
yang juga lahir daripada semangat perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air. Mohd.
Hoessein Enas, Idris Salam, Sabtu Yusuf, Habibah Manan, Zakaria Noor dan Yaacob Latif
merupakan tenaga perintis awal persatuan ini. Tuanku abdul Rahman menjadi penaungnya,
sementara Mohd. Hoessein Enas menjadi pengerusi dan Idris Salam sebagai setiausaha.
Kebanyakan ahli APS terdiri daripada para lepasan sekolah Melayu.

Sejak awal lagi, kumpulan ini terlibat dalam pelbagai aktiviti kesenian seperti seni lukis, seni
muzik, persembahan, tarian dan sastera. Pada tahun 1958, nama Majlis Kesenian Melayu (Malay
Art Council) telah ditukar kepada Angkatan Pelukis Semenanjung kerana aktiviti seni lukis yang
dianjurkan lebih berjaya dan menyerlah jika dibandingkan dengan bidang kesenian lain. Namun
sekali lagi nama kumpulan ini telah diubah menjadi Angkatan Pelukis Se-Malaysia pada tahun
1968 berikutan beberapa pelukis dari Malaysia Timur menyatakan hasrat untuk bergabung
dengan persatuan ini. Ekoran daripada itu, objektif kumpulan ini telah diperhalusi antara lain
untuk memelihara serta mengembangkan seni kebangsaaan. Di samping itu juga, ia turut
menekankan karya-karya yang mencerminkan identiti kebangsaan (Abdullah Kassim , 1998).

Selaras dengan objektif APS untuk memaju dan memperkembangkan seni dan budaya tanah air,
banyak kegiatan kesenian telah dirangka dan dilaksanakan sejak awal penubuhannya. Kumpulan
ini menekankan bidang-bidang Seni Halus, Grafik dan Hiasan Dalaman. Namun begitu tenaga
perintis awal kumpulan ini seperti Mohd. Hoessein Enas banyak mengendalikan bidang Seni
Rupa, Idris Salam menyelaraskan Grafik manakala Zakaria Noor dan Sabtu Yusuf menguruskan
bahagian hiasan dalaman.

Kumpulan ini akan menjalankan kegiatan mereka pada setiap hari Sabtu dan Ahad yang
bertempat di Sekolah Kebangsaan Princess Road (Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur) sebelum
berpindah ke Kesatuan Guru-Guru Melayu Selangor. Di bangunan inilah galeri APS dibuka
dengan rasminya oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 19 Mei 1967. Pihak kerajaan juga turut
memberi sumbangan dalam memastikan kumpulan ini akan terus dapat mengembangkan
aktiviti-aktiviti mereka. Pada era ketiadaan sekolah-sekolah mahupun institusi-institusi
pendidikan seni yang khusus, sumbangan APS dalam memperkembangkan seni lukis dan
pendidikan seni harus disanjungi.

Dalam konteks penghasilan karya, bagi mencapai objektif-objektif kumpulan para pelukis
banyak merujuk subjek-subjek tempatan termasuklah menggambarkan suasana aktiviti harian
dan motif kesenian dan kebudayaan tradisi. Pendekatan tersebut lazimnya disalurkan menerusi
pengolahan figuratif yang mencerminkan unsur-unsur budaya Melayu melalui potret. Meskipun
demikian, terdapat ahli APS yang berkarya dengan tatabahasa visual abstrak dan semiabstrak,
seperti Abdul Latiff Maulan, Syed Ahmad Jamal, Idris Salam, Mustaffa Hj. Ibrahim, Siti Zainon
Ismail dan Sabtu Mohd. Yusof. Ini lebih jelas dalam karya-karya anak alam, kumpulan serpihan
APS yang dibentuk oleh Abdul Latiff Mohidin pada tahun 1974. Kumpulan tersebut berhasrat
meneroka pendekatan-pendekatan baru dalam berkarya, sama ada dalam bidang-bidang seni
lukis, puisi mahupun sastera secara umumnya.

Kepelbagaian stail para pelukis APS kemudiannya terserlah dalam pameran Meeting Modernity:
Forty Years of the APS Malaysian Artist Movement 1950-1996 di Balai Seni Lukis Negara pada
tahun 1998. Pameran itu juga menunjukkan bahawa APS bukanlah sebuah kumpulan yang hanya
dianggotai oleh pelukis-pelukis Melayu. Meskipun banyak masalah pentadbiran pada tahun-
tahun 1970-an, APS terus hidup dan pada tahun 1982, Shamsuddin Mansor mengambil alih
teraju kumpulan ini. Pelbagai usaha dilakukan sebagai pengisian terhadap objektif APS sehingga
tertubuhnya Akademi Seni Lukis dan Seni Muzik. Mahazan Abd. Manan mengendalikan kursus
muzik sementara Idris Salam dan Shamsuddin Mansor telah menyelaraskan bidang Seni Lukis
dan Seni Reka.

Selain itu APS juga turut menganjurkan pelbagai aktiviti kebajikan misalnya memungut derma
Pelarian Afghanistan sebanyak RM54,000 pada tahun 1980 dan menganjurkan Pameran
Terbuka dan Hari Terbuka Artis di perkarangan Rumah Hidayat, kediaman rasmi Tun Daim
Zainuddin pad tahun 1990, di samping mengadakan pameran seni lukis yang lain.

Potrebbero piacerti anche